Pelantikan Ketua Pengarah J-KOM baharu dibincang hari ini



Oleh: Helmi Mohd Foad


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan bertemu dengan pihak pengurusan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) hari ini antara lain bagi membincangkan mengenai pelantikan Ketua Pengarah baharu agensi itu secepat mungkin.


Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut sama ada agensi berkenaan sudah ada pengganti Ketua Pengarah baharu yang dipilih ketika di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau tidak memandangkan J-KOM baru sahaja dipindahkan ke Kementerian Komunikasi berkuat kuasa semalam.


"Sebelum ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pernah sebut ada pengganti telah dikenal pasti, namun dari segi pentadbirannya sama ada telah berkuatkuasa atau belum itu akan dipastikan dalam perjumpaan hari ini.


"Tiada tarikh akhir tapi pelantikan ini (Ketua Pengarah J-KOM) akan dibuat sesegera mungkin kerana ia penting, berikan saya sedikit masa," katanya.


Terdahulu beliau menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian ‘Transcending Disinformation: Towards Responsible Media Consumption’ anjuran Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) di Kuala Lumpur hari ini.


Ditanya sama ada pelantikan Ketua Pengarah J-KOM baharu dibuat dalam kalangan penjawat awam atau lantikan luar, Fahmi berkata beliau belum mengetahuinya dan perkara itu akan dibincangkan sewaktu perjumpaan tersebut.


Pada 15 November lalu, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri hanya sembilan bulan selepas dilantik menerajui agensi itu pada 2 Februari.


Sementara itu, Fahmi turut memaklumkan rang undang-undang bagi penubuhan Majlis Media Malaysia dijangka digubal pada tahun hadapan antara lain bakal menyentuh isu berkaitan hasil pengiklanan kepada organisasi media.




No comments: