PMX BERSAMA ALUMNI PTD








 Saya hadir ke majlis Malam Sumbangan Kasih bersama Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) semalam bersama-sama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.


Dalam amanat, saya zahirkan hasrat untuk mengembalikan kegemilangan dan kekuatan perkhidmatan awam dengan menggilap dan memperkukuh aspek integriti, kemahiran dan keterampilan perkhidmatan ini.


Suatu ketika dahulu, barisan pimpinan penjawat awam diberi kepercayaan mengemudi tugasan utama termasuk projek-projek raksasa, ekonomi dan seumpamanya.


Namun dampak campur tangan politik yang melampau dan keterlaluan dalam urusan pentadbiran dan dasar awam telah meminggirkan penjawat awam, dan memusatkan perhatian kepada konsultan luar dengan kos jutaan ringgit.


Tekad Kerajaan MADANI adalah untuk mengangkat semula darjat dan martabat penjawat awam menerusi reformasi dan anjakan paradigma yang menuntut dukungan penuh daripada segenap lapisan perkhidmatan awam.


Titik tolak reformasi ini adalah menerusi kajian menyeluruh sistem perkhidmatan awam, yang diabaikan akibat sepak terajang politik tanpa kesudahan sejak beberapa tahun kebelakangan. 


Kajian ini tidak sekadar tertumpu soal gaji, elaun dan saraan penjawat awam, namun turut menyinggung soal menambah baik keupayaan, mutu, profesionalisme serta integiriti penjawat awam. Pastinya hasrat ini hanya mampu terlaksana dengan kestabilan dan tekad politik yang jitu.


Saya turut nyatakan harapan semoga usaha ini dapat menyingkirkan kelemahan dalam perkhidmatan awam yakni tatakelola yang mulai luntur, rasuah menular menjadi sistemik.


Di akhir ucapan, saya turut umumkan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Yayasan Alumni PTD sebagai menghargai pengorbanan dan khidmat bakti kumpulan PTD, utamanya yang sudah bersara.


#MalaysiaMADANI



No comments: