Kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman semalam biar pun telah diduga tetapi tidaklah ke tahap Pas memperolehi majoriti sebesar 37,000 undi.
Biar pun terdapat hujah Pas mengekalkan undi pada Pilihan Raya
Umum ke 15 tetapi pengundi Pakatan Harapan dan BN yang kurang keluar membuang
undi, namun bagi Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yop,
kekalahan PRK lebih kepada kejayaan strategi Pas memanipulasi emosi pengundi
dan menggunakan hujah agama sempit.
"Modal (kempen) masih sama, sokong Pas masuk syurga. Ditambah
isu konsert LGBT, konsert Coldplay. Pas juga berjaya tunjuk mereka lebih sokong
Palestin daripada orang lain.
"Orang Terengganu ini sentimen kepada agama kuat. Antara
kelemahan orang Terengganu kita tengok ialah mudah dimanipulasi tentang isu
agama. Sangat sensitif bab agama. Pas berjaya dalam hal ini," katanya.
Menurut beliau, Pas juga mengelirukan pengundi dengan naratif
kononnya Kerajaan Perpaduan tidak bersungguh sungguh membantu orang Islam
Palestin.
Ahmad Nahdir Yop
Sedangkan pada era Pas-PN memerintah (2020 - 2022) tiada pun
agenda untuk Palestin yang diperjuangkan.
"Pencerah Pas bawa naratif Parlimen Malaysia gagal bawa isu
Palestin. Orang termakan. Ini bukan masalah penerangan lagi, bukan tak sampai,
tetapi orang anggap apa kita beritahu itu bohong, yang sebelah sana betul
"Ini di luar (gerak kerja) penerangan. Kita di pihak parti
buat (penerangan), kerajaan buat tetapi ia berpunca daripada fitnah atas agama
dan bangsa.
"Orang Melayu di sini termakan semua itu," katanya.
Perkara yang lebih membimbangkan, kata Ahmad Nadhir ialah
'mentaliti terkepung' yang disumbat ke pemikiran orang Melayu dan menganggap
orang agama lebih suci atau betul daripada masyarakat biasa.
"Di sekolah agama terutama di Terengganu dan Kelantan ada mentaliti
terkepung. Kamu adalah 'insan terpilih' yang bersih, suci, holier-than-thou, orang luar dari bidang agama
lakukan maksiat dan sebagainya.
"Orang Pas kebanyakannya lulusan sekolah agama dan dia rasa
diri sebagai utusan Tuhan untuk membersihkan. Itu ditanam dalam doktrin sekolah
agama," katanya.
Sikap rakyat yang kurang mahu memastikan kebenaran juga, kata
Ahmad Nadhir, menyukarkan penerangan dan pemahaman sesuatu isu terutama yang
mempunyai kaitan dengan sentimen agama.
"Mereka (orang Terengganu) merasakan apa yang Pas bawa itu
agama (yang benar). Yang lain daripada Pas bawa, bukan ajaran Islam
(sebenar)," katanya lagi.
Dalam PRK Kemaman semalam calon Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri
Mokhtar mengalahkan calon BN Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor
dengan majoriti besar.
Kekalahan calon BN dianggap lebih buruk daripada PRU 2022 terutama apabila dicampurkan jumlah undi BN dan PH pada pilihanraya itu.