Kemenangan bergaya Pas melalui calonnya, Ahmad Samsuri Mokhtar dalam PRK Kemaman semalam, sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah sudah dijangka.
Ini kerana, Terengganu berdasarkan keputusan PRU15 dan PRN lalu, jelas lagi terbukti memang merupakan kubu kuat Pas.
Pas menyapu bersih semua lapan kerusi Parlimen pada PRU15 dan kemudian menyapu licin 32 kerusi DUN pada PRN.
Atas hakikat tersebut, ditambah lagi kemenangan Pas melalui calonnya, Che Alias Hamid pada PRU15 lalu adalah dengan kelebihan 27,179 undi, memang sudah dijangka Pas “makan kacang” saja di Kemaman.
Dengan majoriti besar tersebut, adalah disedari juga oleh sesiapa yang waras bahawa memang mustahil untuk BN boleh berjaya merampas kerusi Parlimen Parlimen.
Cuma, ramai yang menjangkakan, kemenangan Pas dengan meletakkan Menteri Besar Terengganu sebagai calon, majoriti yang mungkin dicapai sekitar 30 ribu undi lebih sedikit saja.
Sedikit mengejutkan apabila majoriti yang dicapai oleh Ahmad Samsuri adalah sebanyak 37,220 undi, lebih 10,041 berbanding majoriti Che Alias pada PRU15 lalu.
Agaknya, majoriti besar itu adalah disebabkan gembar-gempur bahawa Ahmad Samsuri adalah calon Perdana Menteri Pas pada masa depan.
Seronok nampaknya pengundi Kemaman nak dapat Ahli Parlimen mereka sebagai bakal Perdana Menteri.
Begitu pun, di sebalik majoriti besar yang dicapai Ahmad Samsuri, undi yang beliau raih sebenarnya kurang berbanding yang diperolehi Che Alias.
Che Alias pada PRU15 lalu memperolehi 65,174 undi, tetapi undi Ahmad Samsuri ialah 64,998 – kurang 176 undi.
Hal ini mungkin disebabkan ramai pengundi luar yang tidak pulang mengundi.
Yang paling malang sekali ialah Raja Mohamad Afandi Raja Mohamad Noor yang dipertaruhkan BN sebagai calon dalam misi mustahil untuk merampas Kemaman.
Beliau bukan saja gagal, malah undi yang diperolehinya cuma 27,778 undi iaitu jauh lebih rendah berbanding 38,535 yang dicapai oleh Ahmad Said pada PRU15 lalu.
Soalnya ke mana pergi 10,757 undi lagi?
Lebih malang lagi jika dicampur undi Ahmad Said sebanyak 38,535 dengan undi calon PH, Hasuni Sudin sebanyak 8,340 pada PRU15 lalu, Raja Afandi sepatutnya boleh mendapat lebih 45 ribu undi.
Mengapa beliau hanya berjaya mendapat 27,778 undi?
Adakah pengundi UMNO sendiri menolak Raja Afandi dan kerjasama BN dengan PH tidak diterima oleh pengundi Melayu?
Apa pun, kejayaan cemerlang Pas di Kemaman dengan meletakkan Ahmad Samsuri sebagai calon, disertai dengan gambaran beliau adalah calon Perdana Menteri bagi masa depan, ini bererti sudah sampai masanya bagi Mahiaddin Md Yasin untuk bersara dan Hamzah Zainuddin untuk turut berlapang dada memberi laluan.
Lagi pula dengan Pas mempunyai 43 kerusi Parlimen, paling besar dalam gabungan PN, bahkan terbesar antara semua parti dalam negara ini, memang sudah sampai waktunya bagi parti itu meletaklan calon Perdana Menteri yang nampak berwibawa dan “boleh dijual” kepada pengundi dalam PRU16 akan datang nanti.
Jika selepas ini ada lagi PRK di mana-mana dan Ahmad Samsuri diturunkan dengan lebih kerap sebagai wajah calon Perdana Menteri, rasa-rasanya Pas akan lebih mudah memikat hati pengundi, seterusnya mencipta kemenangan.
Mahiddin dan Hamzah, dengan perkembangan ini bukan saja bertukar menjadi “PM Tepi”, malah boleh terus duduk diam-diam di tepi. – ShahbudinHusin 03/12/2023.
https://shahbudindotcom.net/2023/12/03/bila-pas-sudah-ada-ahmad-samsuri-sebagai-calon-perdana-menteri-mahiaddin-dan-hamzah-sudah-boleh-duduk-diam-diam-di-tepi.html