ISU DR AGUS DAN CABARANNYA BUAT ANWAR



Suka atau tidak, isu yang kini menjadi perbualan ramai melibatkan bekas Ketua Pengarah J-Kom, Prof Dr Mohd Agus Yusof adalah petaka yang sedikit-sebanyak telah mencalarkan imej Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Sekurang-kurangnya ada dua penyebab yang berpunca daripada Dr Agus yang menyumbang kepada tercalarnya imej Anwar itu.


Pertama, Dr Agus telah gagal total selaku Ketua Pengarah J-Kom dan kerana kegagalannya itu menyebabkan Anwar dipersalahkan lantaran melantik bekas pensyarah UKM itu ke jawatan tersebut.


Selain ada yang menyifatkan Anwar telah salah pilih dan gagal melantik orang yang betul untuk mengetuai J-Kom, tidak kurang ada yang ingin tahu, siapakah yang mencadangkan nama Dr Agus kepadanya?


Sama ada melantik Dr Agus dulu itu adalah keinginan Anwar sendiri kerana latar belakang kerjayanya atau kerana ia dicadangkan oleh orang lain kepadanya, banyak pihak bagaimanapun tetap meletakkan kesalahan akhir adalah kepada Perdana Menteri.


Kata mereka, Anwar sepatutnya membuat lebih penelitian terhadap Dr Agus sebelum mahu melantiknya mengetuai J-Kom.


Tambah mereka lagi, jika Dr Agus sejak awal lagi berjaya “ deliver” dalam tugasnya sebagai Ketua Pengarah J-Kom atau jika sekiranya individu lain yang benar-benar berkemampuan dan boleh bekerja dilantik mengetuai agensi itu, sudah pasti nama Anwar tidak tercalar ketika ini.


Perkara kedua yang turut menyumbang kepada tercalarnya imej Anwar ialah berikutan perlakuan tak senonoh yang didakwa dilakukan Dr Agus sebagaimana terpapar dalam “video Wahab” yang tular di alam maya, seterusnya diikuti laporan polis oleh Wahab sendiri yang mendakwa dirinya diganggu secara seksual oleh bekas Ketua Pengarah J-Kom itu.


Memandangkan J-Kom adalah agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, disertai pula peranan pentingnya adalah untuk mempromosi agenda kerajaan serta menjulang kebaikan Perdana Menteri, apa yang terserlah mengenai sisi lain Dr Agus itu jelas merupakan suatu kontradiksi yang memercikkan rasa malu kepada Anwar.


Sekali lagi dipertanyakan ramai, kenapa Anwar tidak memeriksa betul-betul latar belakang Dr Agus sebelum mahu membawanya berkhidmat dalam kerajaan?


Namun demikian, oleh kerana semuanya sudah berlaku, bahkan kini sedang dalam siasatan pihak polis, Anwar tiada pilihan lain melainkan menerima semua itu sebagai pengajaran, sekallgus cabaran dalam mengemudi negara.


Untuk akan datang, sementara difahamkan banyak pihak sedang melobi untuk mengisi jawatan Ketua Pengarah J-Kom, sama ada melalui pegawai-pegawai PMO, melalui mereka yang rapat dengan Anwar atau barangkali ada yang melobi terus dengan Perdana Menteri sendiri, setidak-tidaknya tiga kriteria harus diambil kira dalam lantikan yang bakal dibuat nanti.


Pertama, pilihlah mereka yang diketahui dan dikenalpasti benar-benar boleh bekerja dan mampu melaksanakan tugas menerajui J-Kom dengan baik.


Kedua, lantiklah orang parti dan mereka yang faham serta ada pengalaman dalam sepak terajang politik di lapangan.


Hanya orang politik yang lebih faham bagaimana untuk “memasarkan” imej kerajaan dan Perdana Menteri secara lebih berkesan di mata rakyat, selain perlu berperanan menangkis tohmahan, manakala ahli akademik, pegawai kerajaan atau lain-lain kelompok tidak sebaik itu kemampuan serta pengetahuan mereka.


Ketiga, belajar daripada apa yang baru berlaku, seseorang yang mahu dilantik mengetuai J-Kom juga mestilah diketahui dan dikenalpasti dengan jelas naluri seksualnya.


Jika lelaki, ia mestilah lelaki sejati yang naluri keinginannya hanya kepada wanita, bukan lelaki yang suka kepada lelaki.


Begitu juga jika wanita, ia mestilah wanita sejati yang keinginannya cuma kepada lelaki, bukan wanita yang suka kepada wanita.


Lelaki atau wanita sejati adalah manusia normal yang biasanya lebih mampu mengawal nafsu dan ada keupayaan menghindar diri daripada terjebak dalam gejala yang bersifat melampau.


Jika tiga syarat di atas diambil kira, Insya Allah Anwar akan selamat dan tidak tercalar lagi imejnya, bahkan J-Kom lebih mampu menyerlah dalam peranannya yang sebenar. – ShahbudinHusin 02/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/02/isu-dr-agus-dan-cabarannya-kepada-anwar.html#google_vignette