KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN SERUAN KEPADA PARA PENDAKWAH AGAR BERSIKAP CERMAT DAN TAWADHU’ KETIKA MENGULAS PERSOALAN ISU AGAMA





Zusdin

1.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa sungguh kesal dengan kegopohan seorang pendakwah yang telah mengeluarkan bahasa kasar hingga membuat tohmahan bahawa pemimpin negara sebagai sesat serta jahil ketika membincangkan iktibar dari kisah Ashabul Kahfi (pemuda al-Kahfi) di dalam al-Quran kepada para penjawat awam baru-baru ini. Tuduhan tersebut amatlah ekstrem serta keterlaluan.

 

2. ⁠​Hakikatnya, pemimpin negara tersebut tidak pun menyatakan para pemuda Ashabul Kahfi itu sebagai golongan tidak beriman, sebaliknya beliau telah mempertegaskan keimanan Ashabul Kahfi dalam ucapannya.

 

3. ​⁠Dalam ucapan tersebut, pemimpin negara telah mengajak para penjawat awam mengambil iktibar dari kisah tersebut dan mengajak seluruh rakyat agar menjadi warganegara yang berprinsip selaras dengan dasar kebenaran dan keadilan dalam kehidupan berpandukan keteguhan keyakinan pemuda al-Kahfi itu. Malah huraian terhadap konteks peristiwa itu juga adalah tepat sebagaimana rujukan sumber-sumber tafsir dan tulisan ilmiah di mana kisah Ashabul Kahfi telah berlaku di zaman pemerintahan kaum Nasrani atau Kristian.


4. ​Ia juga selari seperti penjelasan yang dibuat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam isu pemuda Al-Kahfi yang boleh dirujuk kepada Irsyad Al-Hadith Siri ke-50: Kisah dan Bilangan Ashabul Kahfi, pada April 2016 dan Bayan Linnas Siri ke-286: Adakah Ashab al-Kahfi Beragama Kristian?, Disember 2023.

 

5. ​Sehubungan itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru umat Islam untuk sentiasa merujuk isu-isu dan permasalahan keagamaan kepada pihak berkuasa agama Islam seperti Pejabat/Jabatan Mufti Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang berautoriti dalam perkara berkaitan.

 

6. ​⁠Justeru, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menasihati para agamawan di negara ini agar bersikap cermat, memelihara adab dalam menyampaikan dakwah, tawadhu’ dalam menyebarkan risalah agama agar tidak terjebak dengan penyakit takabbur dengan ilmu yang dimiliki.

 

7. ​⁠Para pendakwah perlu menghayati nilai-nilai hikmah demi memelihara kemaslahatan perpaduan masyarakat yang berakhlak, bersatu padu dan sejahtera. Sebarang ucapan dan ceramah yang berbaur sentimen perpecahan dan kebencian sesama sendiri adalah perlu dihentikan.

 

Sekian, terima kasih.

 

SENATOR DATO' SETIA DR. MOHD NA'IM BIN HAJI MOKHTAR

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

 

23 Disember 2023


Link : https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=324835797129887&id=100088104087618&mibextid=Nif5oz







No comments: