Berhati-hati Dengan Minda Khawarij

 


Saya sengaja membiarkan perbahasan berkaitan isu Ashabul Kahfi seperti yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak di media sosial beberapa ketika. Ternyata benar telahan PMX, iaitu dia akan dilabelkan liberal malah lebih dari itu iaitu pemimpin yang sesat dan menyesatkan.

Pada saya tiada apa yang perlu dikomen jika kita menonton video ucapan PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan perkara tersebut, dengan minda yang terbuka dan ikhlas.

Mesej beliau adalah ketegasan mempertahankan prinsip tanpa mengira usia. Hadapilah segala kesusahan sehingga terpaksa memencilkan diri dengan bersembunyi di gua yang sempit dan merimaskan.

Inilah mesej yang diangkat oleh al-Quran. Keikhlasan mempertahankan aqidah adalah suatu yang dituntut dan dimuliakan dalam Islam.

Sifat dan sikap Ashabul Kahfi, yang menginsafi bahawa mereka perlu membawa diri dan bersembunyi bagi menyelamatkan aqidah mereka atas asas ilmu dan keperluan semasa.

Ia juga adalah ihsan Allah s.w.t. yang memilih mereka, dari kelompok pemuda atas dasar keikhlasan mereka beriman.

Kegopohan menggelar PMX sebagai pemimpin yang sesat dan menyesatkan oleh Ustaz Azhar Idrus bukanlah satu teladan yang baik utk masyarakat. Tambahan pula beliau sendiri pernah mengeluarkan pandangan yang hampir serupa dengan PMX pada tahun 2018.

Gelagat pendakwah sebegini pernah terjadi di waktu Imam al-Ghazali lagi. Satu kekecohan akibat kritikan yang melampau oleh seorang penceramah sehingga menimbulkan pergaduhan dan mengakibatkan kematian di dalam masjid.

Antara insiden yang berlaku adalah pada tahun 469H, apabila Sheikh Abu Ishak Syairazi dan Abu Sa'ad Shufi, mencela ajaran Imam Hanbal lalu Abu Ja'afar bin Musa dan pengikut Mazhab Hanbali, menyerang kembali lalu berlaku pergaduhan dan mengakibatkan kematian.

Insiden seperti ini berlaku akibat ketaksuban pengikut dan akhlaq pendakwah yang buruk, yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menyalakan api kebencian dan kemarahan.

Imam al-Ghazali menyimpulkan ia sebagai penyelewengan misi ulama. Penyelewengan ini bermula dari sejenis penyakit hati yang dinamakan 'ghurur' (غرور) atau dalam bahasa kita sebagai penipu-dayaan.

Mereka yang terkena penyakit ini menyangka bahawa segala kelebihan samada berbentuk ilmu, kekuatan beribadah, ramainya pengikut mahu pun kemampuan bersedekah adalah petunjuk mereka berada atas landasan kebenaran, lantas memandang hina kelompok yang tidak bersama mereka. Mereka sanggup melabel dan mengeluarkan segala kata-kata yang menjelekkan dengan andaian ia adalah sesuatu yang diharuskan kerana mereka berada di pihak yang benar.

Sikap seperti ini menjurus kepada 'ghuluw' (غلوا), melampaui batas, sehingga sanggup mengeluarkan ugutan bunuh, menanam mayat di jirat Cina dan sebagainya.

Sabda Baginda s.a.w :

يا أيها الناس إياكم والغلو في الدين فإنه أهلك من كان قبلكم الغلو في الدين

Wahai sekalian manusia jauhilah anda daripada sifat melampau. Sesungguhnya orang-orang yang sebelum daripada kamu binasa kerana melampau dalam agama.

(Sunan Ibnu Majah: 3029: Sahih)

Inilah bunga-bunga fahaman 'Khawarij' (خوارج). Kelompok Khawarij ini dalam sejarah sanggup berbunuhan sesama Islam, malah bekerjasama dengan kelompok musuh Islam untuk membunuh umat Islam.

Kita boleh sahaja tidak bersetuju dengan mana-mana pemimpin hatta Perdana Menteri sekali pun, namun menggelar atau melabel dengan label yang seolah-olah meragui kesahihan aqidahnya seperti sesat, liberal dan seumpamanya hendaklah dielakkan. Jika ada dalam kalangan pengikut atau penggemar kita berkelakuan sedemikian hendaklah ditegur agar kerosakan akhlak dapat dibendung dan dihentikan.

Inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w :

هلك المتنطعون قالها ثلاثا

Binasalah orang yang melampau. Baginda menyebutnya tiga kali.

(Sahih Muslim : 2670, Sahih)

Kegigihan al-Ghazali dalam melakukan islah dari sudut aqidah, keilmuan, falsafah, dakwah dan akhlaq akhirnya melahirkan generasi Salahuddin Al-Ayyubi yang mampu membebaskan Baitul Maqdis dari belenggu penjajahan dan kezaliman.

Hj. Amidi bin Abdul Manan,

Pengarah,

Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

23 Disember 2023.

 

No comments: