Isu solidariti ke atas rakyat Palestin jangan dipolitikkan




 Seorang pemimpin KEADILAN Kelantan menyatakan rasa kesal terhadap tindakan sesetengah Ahli Parlimen, ADUN dan NGO yang mempersoalkan pelajar sekolah bersolidariti bersama Palestin


Timbalan Pengerusi MPN KEADILAN Negeri Kelantan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain berkata program itu dianjurkan bertujuan supaya murid menghayati atau memahami kesengsaraan rakyat Palestin yang menderita angkara perang sejak 75 tahun lalu.


"Hampir setiap hari rakyat Malaysia bersolidariti sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin yang terseksa angkara kekejaman rejim Zionis Israel, dari pelajar sekolah sehinggalah pemimpin kerajaan.


"Semuanya memberi sokongan tak berbelah bahagi sama ada menganjurkan solat hajat, doa dan munajat, himpunan secara besar-besaran dan pungutan derma untuk menbantu rakyat Palestin yang semakin merana sudah memasuki minggu ketiga," katanya dipetik.

Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain

Terdahulu beberapa pihak termasuk NGO mempersoalkan arahan supaya sekolah mengadakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November ini.


Mereka mendesak institusi pendidikan tidak dibabitkan dengan isu konflik antarabangsa, perang dan pertikaian agama.


Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan sebelum ini menegaskan program itu dianjurkan bagi menerap sikap simpati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.


Walau bagaimanapun, tujuan asal program itu dicemari kontroversi susulan tular gambar pelajar memegang senjata mainan pada 27 Oktober lalu yang dikaitkan dengan program berkenaan.


Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menegaskan agar penganjuran minggu solidariti dipantau supaya tidak menimbulkan sebarang masalah.


Malah KPM tampil menegaskan, acara diadakan di sebuah sekolah tersebut tidak mengikut garis panduan ditetapkan kementerian.


Sementara itu, Syed Mohd Alidustur yang juga Pengerusi Pendidikan KEADILAN MPN Kelantan menyokong ketegasan Perdana Menteri dalam isu tersebut dan mendesak isu penganjuran program itu tidak dipolitikkan.


Malah beliau menyifatkan tindakan sebuah badan NGO, Global Human Rights Federation (GHRF) mendesak KPM membatalkan penganjuran semata-mata kesilapan sebuah sekolah sebagai tidak berasas.


"Sepatutnya NGO itu melihat garis panduan yang dikeluarkan KPM sebagai asas kritikan bukannya secara semberono mahu ia terus dibatalkan kerana penganjuran yang tular di media sosial beberapa hari lalu di luar tempoh pelaksanaannya dan telah dijelaskan oleh menteri pendidikan sendiri," ujarnya.

No comments: