Bekalan ayam mencukupi, subsidi ditamatkan Rabu ini




 Subsidi ke atas ayam bulat akan ditamatkan pada Rabu ini berikutan bekalan telah pun memenuhi permintaan.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan bersetuju untuk menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam pada 1 November 2023 setelah meneliti pelbagai faktor.


Sementara itu, katanya, untuk telur ayam gred A, B, C, kerajaan akan meneruskan subsidi mengikut mekanisme sedia ada.


"Ia (penamatan subsidi) adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan," katanya dipetik Bernama.


Mohamad berkata, rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam itu untuk mengurangkan ketirisan yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi dengan jumlah subsidi sebanyak RM3.8 bilion telah dikeluarkan bagi menampung kos ayam dan telur sehingga Februari tahun ini.


Tambah beliau, penamatan subsidi dilakukan setelah mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa di bawah harga siling.


Kerajaan juga kata beliau akan memastikan harga jualan bagi ayam terus berada pada kadar munasabah.


"Kerajaan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa.


"Di samping itu, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Oktober 2023, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna," katanya.


Selain itu, Kerajaan, kata Mohamad akan terus memberi penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil, sederhana juga skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.


Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican serta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Mohd Sayuthi Bakar.