Saifuddin dedah gambar lawatan Sanusi ke tapak REE
KUBANG PASU - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution
Ismail mendedahkan gambar menunjukkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad
Sanusi Md Nor mengadakan lawatan tapak di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik
pada 19 Februari lalu.
Saifuddin mendakwa, pendedahan gambar itu sekali gus membuktikan
Muhammad Sanusi sememangnya mempunyai pengetahuan mengenai kecurian unsur nadir
bumi (REE) di Kedah.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu berkata,
Muhammad Sanusi hanya mendiamkan diri dan tiada tindakan diambil berkaitan
perkara terbabit.
"Menteri Besar telah turun dan menyaksikan sendiri insiden
kecurian ini, dia tengok sendiri bagaimana kemusnahan kawasan, bagaimana cari
gali yang secara intensif dilakukan melibatkan kawasan yang demikian luas.
"Namun daripada tarikh itu tiada tindakan yang benar-benar serius
telah diambil oleh beliau setelah usai lawatan ke lokasi kejadian,"
katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN)
Jitra di sini, pada Khamis.
Menurutnya, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu
bukan sekadar berdiam diri malah berterusan menafikan bahawa beliau mempunyai
maklumat mengenai kejadian berkenaan.
"Saksikan dalam banyak-banyak ucapan beliau dalam YouTube dan
media sosial, dengan selamba beliau menafikan dan berulang kali sebut tiada
pengetahuan tentang insiden kecurian ini.
Dakwa Saifuddin, paling dikesalkan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian
(PTG) Kedah tidak melakukan sebarang tindakan, sedangkan Enakmen Mineral Kedah
2004 memperuntukkan sekurang-kurangnya tujuh seksyen yang membolehkan tindakan
dibuat.
"Akibatnya yang menanggung kerugian adalah rakyat Kedah yang
sepatutnya diberi jaminan perlindungan kepada sumber semula jadi dengan langkah
tegas perlu diambil ke atas mereka yang terbabit dalam kegiatan haram ini.
"Saya sebut dua hari lepas, salah satu struktur (jawatan) dalam
Perbadanan Menteri Besar (MBI) adalah Pengarah PTG, dia memegang jawatan
penting sebagai ahli panel penasihat MBI. Selain itu, beliau atau wakilnya juga
adalah Ahli Jawatankuasa Sumber Mineral Negeri," katanya.
Jelasnya, individu-individu terbabit adalah pihak berkuasa yang
bertanggungjawab menyiasat perkara berkaitan Enakmen Mineral Kedah 2004.
"Saya telah meneliti pelbagai peruntukan dalam enakmen tersebut.
Adalah menghairankan, walaupun isu ini sangat serius, tiada kertas siasatan
dibuka untuk menangani perlombongan haram dan pencurian berterusan,"
katanya.
Sementara itu, Saifuddin menegaskan tidak gentar dengan ugutan Muhammad
Sanusi untuk memfailkan satu lagi saman terhadapnya kerana mendedahkan isu
berkaitan REE.
"Dia nak saman, samanlah. Ini ada surat beliau tulis kepada bekas
Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) memohon So Loi Fat sebagai
Pengerusi Prospek Suria Kedah mendapatkan Pas Lawatan Ikhtisas masuk ke negara
ini, jadi di mana tidak ada kaitannya?
"Semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati ada Prospek
Suria Kedah yang ditubuhkan pada November 2019 dan pengarahnya adalah So Loi
Fat dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Muhamad Sobri Osman.
"Betul So Loi Fat masuk sebelum Sanusi jadi Menteri Besar
menggunakan Pas Lawatan Sosial, tetapi surat Sanusi yang membolehkan dia masuk
menggunakan Pas Lawatan Ikhtisas sebagai profesional, dia pemegang saham dan jawatan
dalam Prospek Suria Kedah," katanya.
Saifuddin menegaskan, tidak mungkin Ketua Pegawai Eksekutif MBI membuat
keputusan menubuhkan syarikat Prospek Suria Kedah melainkan dia melaporkannya
terlebih dahulu kepada Panel Penasihat MBI.
"Saya katakan bahawa Sanusi tahu semua operasi ini, pembabitan So
Loi Fat yang kini menghilangkan diri, dia tahu banyak," dakwanya.