'Banyok kali doh mari rumoh' - calon PAS ditegur pengundi

Calon PAS di DUN Jabi, Dr Azman Ibrahim mengunjungi warga emas yang uzur di Kampung Renek, Jabi. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Calon PAS di DUN Jabi, Dr Azman Ibrahim mengunjungi warga emas yang uzur di Kampung Renek, Jabi. - Foto NSTP/Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU: Calon PAS, Dr Azman Ibrahim akan terus menemui seramai mungkin pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini walaupun dikenali sebagai pemimpin yang kerap menziarahi penduduk.

"Tempoh berkempen pada PRN yang bermula Sabtu lalu tidak dianggap sebagai kempen pilihan raya."Sebaliknya, kita menganggap berjumpa dengan penduduk di seluruh kawasan DUN Jabi sebagai penerusan agenda biasa dengan rakyat," katanya.

Dr Azman yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bertanding mempertahankan kerusi DUN Jabi yang dimenangi dengan majoriti tipis 55 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dr Azman memperoleh 8,061 undi, manakala pencabarnya, Mohd Iskandar Jaafar daripada Barisan Nasional (BN) memperoleh 8,006 undi.

Pada PRN ini, Dr Azman akan bertembung satu lawan satu dengan calon BN, Rosdi Zakaria.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, program menyantuni rakyat dalam rangka menangani masalah dilaksanakan sejak lebih 20 tahun lalu,

"Kita bertemu rakyat, tetapi tidak berkempen supaya mengundi kita kerana seluruh pengundi di DUN Jabi sudah bijak membuat pilihan.

"Kita terharu apabila ada antara pengundi menegur kita kerap sangat ke rumah mereka termasuk sebelum PRN," katanya.

Dr Azman turut mengesahkan setiap lorong dan jalan serta seluruh pengundi sudah sebati di hati.



"Hendak perkenalkan diri pun orang kenal doh, rakyat keturunan Siam yang tinggal di DUN Jabi pun merungut, banyak kali doh mari rumah," katanya.

VIDEO BERKAITAN