KENAPA PN PUN MAHU ZAHID HAMIDI LETAK JAWATAN?



Berikutan prestasi buruk UMNO dalam PRN enam negeri yang baru berakhir, amai yang mencadangkan agar kepimpinan parti itu segera diubah.


Perubahan paling banyak dicadangkan ialah mendesak Zahid Hamidi supaya segera berundur atau mrletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.


Tidak terkecuali juga saranan yang kedengaran ialah mendesak Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Kalau mereka yang berada dalam UMNO dan bimbang tentang masa depan parti itu yang membuat desakan demikian barangkali bolehlah juga difahami tujuannya.


Namun, yang turut membuat desakan yang sama ialah mereka dalam PN dan yang pro kepada gabungan blok pembangkang itu.


Di tempat teratas yang mendesak Zahid Hamidi agar berbuat demikian ialah Mahiaddin Md Yasin, Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, parti yang merupakan saingan kepada UMNO sendiri.


Di samping itu, ramai lagi mereka yang diketahui pro PN juga mahu Zahid Hamidi berundur daripada jawtannya dalam parti serta kerajaan atas alasan keberadaannya kini adalah beban kepada Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.


Kata mereka, berdasarkan keputusan PRN lalu serta PRU15 sebelumnya, UMNO tidak mungkin mampu bangkit semula jika Zahid Hamidi kekal menerajui parti itu.


Kenapa mereka begitu syok mahu mendesak Zahid Hamidi meletak jawatan?


Tidakkah PN sedar bahawa pertukaran kerajaan di pertengahan jalan sudah hampir mustahil berlaku dan satu-satunya cara menukar kerajaan hanyalah melalui PRU16 pada tahun 2027 akan datang?


Kalau keputusan PRN dijadikan ukuran dan keberadaan Zahid Hamidi menerajui UMNO serta berada dalam kerajaan lebih merupakan beban dan menyukarkan parti itu beroleh kemenangan, ini bermakna ia adalah suatu anugerah keadaan yang memihak kepada PN.


Apabila UMNO sudah hilang potensi untuk diberi undi oleh rakyat disebabkan adanya Zahid Hamidi, bukankah yang untung ialah PN, gabungan yang dianggotai Pas dan Bersatu serta merupakan saingan kepada UMNO?


Kalau begitu, tidakkah PN sepatutnya menggalakkan lagi Zahid Hamidi terus menerajui UMNO dan kekal berada dalam kerajaan supaya sokongan rakyat lebih memihak kepada mereka, seterusnya lebih mudah memenangi PRU16 nanti?


Tetapi, mengapa PN pun mahu Zahid Hamidi meletak jawatan?


Mereka mahu apa sebenarnya? – ShahbudinHusin 14/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: