Bahaya kesombongan


Nik Hasyudeen.



Kita semua sudah maklum dengan hadis Rasulullah SAW berkenaan sifat sombong yang menyebabkan kita tidak boleh masuk syurga (link ada di bahagian komen).


Baginda juga menjelaskan kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan memandang rendah ke atas manusia. Ianya masalah jantunghati yang mempengaruhi keputusan dan tindakan kita. 


Di era yang mana ada pelbagai pandangan, dakwaan, saranan, desakan yang sampai kepada kita melalui pelbagai platfom sosial, kita menghadapi risiko memberi respon spontan berdasarkan maklumat terhad berkenaan. Ada orang siap buat video untuk memberi respon.


Walau bagaimana pun, mungkin sehari dua selepas itu, timbulkan fakta-fakta dan maklumat-maklumat yang sahih yang menjelaskan perkara yang sebenar. Apakah sikap dan tindakan kita di kala itu?


Sekiranya kita tidak memperdulikan fakta-fakta baharu dan masih mempertahankan respon kita, adakah kita sudah melepasi batas kesombongan? Tanyalah kepada agamawan yang berilmu, jujur dan amanah. Tentunya kita nak masuk syurga dan tidak mahu terlibat dengan kesombongan. Di dalam hadis yang saya rujuk di atas, sedikit kesombongan pun akan membawa implikasi yang besar di akhirat.


Jika kita ada kedudukan dan pengikut yang ramai, mudahkah kita mahu mengaku di hadapan mereka bahawa komen atau dakwaan kita sebelum ini tidak benar kerana kita membuatnya berdasarkan maklumat yang tidak benar juga? Ini adalah cabaran kepada orang-orang yang popular dan dikenali ramai. 


Semoga Allah SWT melindungi kita semua dari sifat yang merbahaya ini. Status dan kumpulan yang kita sertai tidak akan menjadi pelindung jika jantunghati kita terjangkit dengan sifat sombong.