Pelbagai pihak kecewa dengan sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang terus menyerang Perdana Menteri berhubung 'penolakan' projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) oleh Kerajaan Persekutuan.
Terbaharu, Sanusi menuduh PM mempunyai kepentingan peribadi kerana
menahan projek pembinaan KXP tersebut.
Membidas hujah Sanusi, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin
berkata membina lapangan terbang yang melibatkan kos berbilion ringgit tidak
semudah dibayangkan Sanusi.
Katanya, kos pembinaan, kesesuaian dan kebolehuntungan projek
perlu diambil kira terlebih dahulu, apatah lagi projek berkenaan memerlukan
Kerajaan Kedah mencari pelabur untuk pembiayaan.
"Bina lapangan terbang bukan macam bina padang bola sepak. Ia
perlu kajian teliti, supaya tak jadi projek Gajah Putih.
"MB @SanusiMNor hanya jaga Kedah, PM@anwaribrahim kena jaga
seluruh Malaysia.
"Amat keterlaluan MB tuduh PM ada kepentingan peribadi,"
ciap Tze Tzin di Twitter.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan
tidak menolak cadangan pembangunan Lapangan Terbang KXP namun kajian NASP
berhubung projek itu masih belum dimuktamadkan.
Tuduhan Sanusi bahawa PM cenderung kepada projek pembesaran
Lapangan Terbang Pulau Pinang dan Subang sebagaimana dalam kenyataan
terbaharunya pula kurang berasas kerana kedua dua lapangan terbang tersebut
telah pun diminta oleh Kerajaan Negeri untuk dinaiktaraf sejak sedekad lalu.
Manakala projek KXP hanya dirancang pada waktu 2018 sewaktu Datuk
Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.