Bekas Ketua
Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi bayangan tidak akan menerima pelawaan
Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyertai BERSATU.
Bercakap ketika podcast ‘Keluar Sekejap’, bekas Menteri
Kesihatan itu mengakui Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU meminta beliau
untuk berfikir lebih lanjut sejurus menyuarakan pandangannya mengenai tawaran
dikemukakan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas mengenai
jawapan diberikan kepada Muhyiddin meskipun ia kelihatan menjurus ke arah
menolak pelawaan Ahli parlimen Pagoh itu.
“Saya fikir lagi (pelawaan dibuat Muhyiddin)…saya pun sudah
bersetuju untuk berfikir lagi dan saya pun minta beliau (beri) sedikit masa.
“Bagi saya ada
(jawapan muktamad mengenai pelawaan itu sudah ada) tetapi beliau (Muhyiddin)
minta supaya saya berfikir lagi.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) pun belum dibubarkan, jadi ada
sedikit masa lagi untuk apa-apa berlaku.
“Bagi saya ada kata putus, tetapi apabila pemimpin yang saya
sanjungi minta saya fikirkan lagi. Kita fikirkan lagilah,” katanya yang juga
bekas Menteri Belia dan Sukan.
Semalam, sumber Perikatan Nasional (PN) memaklumkan Khairy
tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk
BERSATU mahu pun menubuhkan parti baharu dalam waktu terdekat.
Ia susulan pertemuan
Khairy dengan Muhyiddin yang dikatakan berlangsung di kediaman Perdana Menteri
kelapan itu di Bukit Damansara, di sini, kelmarin.
Muhyiddin pada Mei lalu, mengakui ada menawarkan jawatan dalam
Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti
itu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendedahkan, tawaran
berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Ahli Parlimen Rembau
berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.
Beliau dipetik berkata, tawaran itu dibuat selepas mengambil kira
kemampuan Khairy memberi sumbangan bagi memperkukuh kedudukan BERSATU, selain
ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.
Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1117361