Pengampunan Najib ditentukan oleh keputusan Agong - Anwar


 

Proses pengampunan ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.



Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun beliau akan terlibat dalam proses itu namun bukanlah membuat keputusan akhir.



"Proses permohonan pengampunan dibenarkan dan boleh dibawa sesiapa saja.



"Tentunya kita akan patuh kepada peraturan dan syarat...dan saya akan ada dalam proses itu," katanya dipetik Malaysiakini usai melancarkan program Kita-Untuk-Kita di Shah Alam, Selangor.



Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara memutuskan untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh buat Najib.



Ia selepas permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta ditolak Mahkamah Persekutuan dengan keputusan 4-1, pada 31 Mac lalu.



Bagaimanapun, kata Anwar, masih terlalu awal untuk mengulas hal berkenaan kerana proses pengampunan belum dimulai.



"Saya belum lihat apa-apa kecuali resolusi Umno. Pihak dan individu, termasuk mereka yang disabit bersalah, ada hak untuk merayu.



"Saya tidak mahu halang sesiapa dalam hal ini. Ia terperinci dan perlu dipatuhi.



"Keputusan akhir adalah di bawah bidang kuasa Agong sahaja," katanya lagi.



Prosedur pengampunan diraja akan dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dianggotai Peguam Negara, Menteri Wilayah Persekutuan dan tiga anggota yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.



Anwar merupakan pemangku Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika ini.

 

No comments: