1. Dalam sebuah negara majmuk, sarjana bersetuju etnik majoriti
harus menguasai kuasa politiknya. Namun, ini tidak bermakna etnik majoriti
boleh menafikan hak etnik minoriti.
2. Ini telah lama di persetujui dan sudah termaktub jelas dalam
perlembagaan kita. Sayangnya, realiti politik kita tidak begitu.
3. Setiap hari, ada sahaja mereka yang menggunakan isu perkauman
untuk menakutkan etnik majoriti Melayu dengan mendakwa bangsa dan agama mereka
terancam.
4. Sentimen sebegini jika diratibkan boleh menimbulkan
ketegangan kaum. Negara kita telah melalui tragedi akibat ketegangan kaum ini
seperti dalam peristiwa 13 Mei 1969, Memali 1985, dan Operasi Lalang 1986.
5. Apakah kita mahu tragedi hitam politik negara tersebut berulang
lagi? Tentunya tidakkan?
6. Namun, kelmarin saya sedih membaca satu artikel dari
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bertajuk Empangan Murtad Bakal
Pecah.
7. Apa kandungan utamanya? Artikel ini menyatakan kedudukan
Islam terancam kerana sejak kebelakangan ini, beberapa kes yang melibatkan
kepentingan Islam telah difailkan di Mahkamah yang bakal menyaksikan beberapa
enakmen pentadbiran Islam di negeri-negeri bakal dicabar untuk dibatalkan.
8. Sekiranya tuntutan ini berjaya, ia bakal menyaksikan semua
Mualaf yang diislamkan melalui prosedur dan enakmen-enakmen yang dicabar
tersebut, akan dimurtadkan secara besar-besaran.
9. Artikel ini tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
Statistiknya tidak dinyatakan. Berapa kes mahkamah? Apakah yang kerajaan atau
bukan Melayu telah buat sehingga Islam dikatakan terancam?
10. Tajuk empangan pecah pun menakutkan, digunakan semata-mata
untuk membangkitkan emosi perkauman supaya orang Melayu menolak kerajaan
sekarang yang didakwa tidak menjaga kepentingan Melayu dan Islam.
11. Reaksi pengomen yang menyokong artikel ini penuh emosi dan
jelek. Antaranya mereka meminta kerajaan melindungi agama, bukannya ikut
telunjuk kafir. Ada juga yang mendakwa kerajaan ini dengki terhadap kebangkitan
Islam dan ini adalah tindakan pengkhianat negara. Lebih jauh lagi, ada yang
bertanya di mana baginda raja. Akhirnya, mereka menyeru supaya orang Melayu bangkit
kerana agama Islam terancam.
12. Sebagai pelajar politik, saya menolak politik perkauman.
Saya impikan bangsa Malaysia yang bersatu. Saya bosan dengan naratif politik
yang menimbulkan kebencian sesama kita.
13. Oleh itu, saya merayu anak muda dan rakyat Malaysia yang
mahu melihat kita maju untuk menolak sentimen kaum dan agama ini, apa tah lagi
sentimen tanpa fakta dan data. Bagi saya, ini pandangan mereka yang mindanya
tertawan.
14. Akhirnya, marilah kita berganding bahu membangunkan Malaysia
Madani yang bertoleransi, berkeadilan dan bersatu padu. Marilah kita sama-sama
menjadi agen membawa kasih sayang dalam kehidupan bernegara.
15. In Shaa Allah, dengan cara ini, kita boleh hidup dalam
keadaan harmoni dan saling menghormati. Negara kita pula boleh melangkah maju
dan gagah untuk kembali perkasa di pentas dunia. Bukankah ini yang kita mahu?