ISU SKANDAL SEKS EXCO MELAKA MESTI DISELESAI MELALUI PROSES UNDANG-UNDANG


Sudah hampir seminggu berlalu sejak isu skandal seks seorang Exco Kerajaan Negeri Melaka terdedah kepada umum, malangnya sehingga ini masih tidak ternampak proses undang-undang mahu di ditegak dan didaulatkan.


Sementara Exco terbabit sekadar membuat penafian, tetapi enggan membuat laporan polis, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh pula hanya mengkategorikan semua pendedahan itu sebagai fitnah di era media sosial yang semakin berkembang.


Tindakan sedemikian sebenarnya masih jauh daripada memadai kerana yang dituduh adalah seorang Exco yang bermakna ini adalah melibatkan maruah kerajaan negeri.


Menafikan dan mengatakan ia sebagai fitnah tidak membersihkan nama Exco terbabit dan kerajaan negeri selagi tiada siasatan melalui proses undang-undang dijalankan.


Hanya setelah siasatan dilakukan, Exco terbabit dan wanita berkenaan diambil keterangan dan pihak yang menularkan video serta tangkap layar perbualan juga disiasat sama, barulah selepas itu boleh ditentukan sama ada kesalahan atau perlanggaran undang-undang telah berlaku atau sebaliknya.


Jika didapati tiada apa-apa kesalahan boleh dibuktikan, maka dengan sendirinya imej kerajaan negeri Melaka dapat digambarkan sebagai bersih dan tidak terpalit lagi dengan sebarang kekotoran yang memalukan.


Apatah lagi, dalam skandal seks itu, ia bukan saja melibatkan perlunya siasatan di bawah bidang kuasa pihak polis, tetapi juga SPRM dan majlis agama.


Ini kerana, berdasarkan video dan tangkap layar perbualan yang didedahkan, semacam ada kesalahan jenayah, rasuah dalam bentuk seks, hubungan seks haram, malah juga menyebarkan fitnah.


Dalam hal ini, meskipun Exco terbabit dilaporkan enggan membuat laporan polis, Ab Rauf selaku ketua kerajaan negeri sepatutnya mengambil langkah murni untuk membersihkan imej pentadbirannya.


Beliau bukan saja harus memastikan siasatan oleh pelbagai agensi penguatkuasa dilakukan dalam kadar segera, malah sepatutnya juga mengarahkan Exco berkenaan bercuti sementara proses siasatan dijalankan.


Kes ini tidak boleh disembunyikan atau disapu di bawah karpet kerana akhirnya yang akan tercalar dan memikul beban ialah Ab Rauf sendiri selaku Ketua Menteri yang baru saja menerajui Melaka.


Selagi proses siasatan mengikut undang-undang tidak dilakukan, Ab Rauf akan dilihat oleh rakyat sebagai sama tidak bersih dan seolah-olah cuba melindungi kesalahan Exconya sendiri.


Sebelum pihak-pihak luar tampil membuat lebih banyak laporan, baik kepada polis, SPRM dan pejabat agama sehingga akhirnya pihak berkuasa terbabit tiada pilihan lain selain membuka kertas siasatan, Ab Rauf mesti mengambil peluang ini untuk lebih dahulu menunjukkan sikap pro aktif dengan beliau sendiri mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan demi imej kerajaan negeri yang sedang dipimpinnya.


Ayuh Ab Rauf, jangan berlengah lagi menunjukkan nilai-nilai kepimpinan murni yang boleh dibanggakan oleh rakyat Melaka.


Belajar daripada pengalaman sebelum ini di mana ada seorang bekas Ketua Menteri Melaka terpalit dengan skandal seks, kini adalah peluang Ab Rauf untuk memperlihatkan dirinya bukan pelindung kepada skandal seks. – ShahbudinHusin 30/04/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: