KESIAN AHLI PARLIMEN PN INI, CERDIKLAH SIKIT KALAU NAK BANGKANG TU…

 

Seolah-olah satu isu besar, seorang pemimpin PN yang baru pertama kali jadi Ahli Parlimen, Khlir Mohd Nor mempersoalkan lantikan bekas Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd.

Katanya, perlantikan Farhash sebaik sahaja Anwar memimpin negara sejak lebih sebulan lalu adalah perkara yang bertentangan dengan prinsip tatakelola yang baik dan janji-janji yang pernah dilaungkan oleh Pakatan Harapan sebelum ini.

“Mana pergi janji-janji yang dilaungkan oleh PH untuk tatakelola yang baik dan integriti dalam mentadbir negara?

“Perlantikan Farhash adalah bukti bahawa agenda ‘reformasi’ yang dilaung-laungkan oleh PH dan Anwar sekian lama adalah bohong dan merupakan taktik politik untuk memperdaya pengundi.

“Kami menyeru Anwar Ibrahim untuk tidak terus membisu dalam isu jawatan baru Farhash ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ia adalah konsisten kepada konsep reformasi dan tata kelola yang baik,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu lagi.


Hoi hoi ya hoi…kesian…kalau ia pun nak bangkang, jadilah pembangkang yang cerdik sikit.

Ini tidak, semua benda nak dibangkang dan mahu dikaitkan dengan Anwar, tapi faktanya ke laut.

Apa masalahnya Farhash dilantik sebagai Pengerusi 7-Eleven, sedangkan ia adalah sebuah syarikat milik swasta yang tiada kena-mengena dengan kerajaan?

Syarikat tersebut bukan juga sebuah GLC atau syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan.

Yang melantik Farhash adalah syarikat terbabit dan bukannya Anwar.

Lebih daripada itu, Farhash juga tiada apa-apa jawatan dalam PKR dan tidak lagi bekerja dengan Anwar.

Jadi, di mana salahnya Anwar dalam hal ini dan di mana tidak bolehnya syarikat tersebut mahu melantik Farhash?

Ke Khlir ni ingat 7- Eleven sebuah GLC?

Kepada Khlir yang baru jadi Ahli Parlimen, berada pula dalam parti pembangkang, belajarlah jadi pembangkang yang berwibawa dengan membuat “kerja rumah” terlebih dahulu sebelum berkata-kata.

Janganlah semua benda hendak dibangkang – itu bukan pembangkang namanya, tapi pembangang. – ShahbudinHusin 04/01/2023.