PH Sabah nyatakan sokongan kepada Hajiji

 

FMT Reporters
 -

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (tengah) bersama ADUN PH pada satu mesyuarat pada Nov lalu tahun lalu.

PETALING JAYA: Tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Hajiji Noor ketika terdapat khabar angin ada usaha untuk menumbangkan kerajaan negeri itu.

Dalam satu kenyataan bersama, hari ini, mereka mengesahkan tidak pernah memberikan akuan bersumpah (SD) dan sokongan kepada mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan baharu Sabah.

Tujuh ADUN PH tersebut Christina Liew (Api-Api), Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kepayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).

“Kami memerhati dengan serius perkembangan politik di Sabah dan telah mengadakan perbincangan sesama ADUN PH Sabah seramai tujuh orang.

“Kami ingin memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah bagi menyokong mana-mana pihak selepas 2020.

“Jika ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan daripada kami, maka ianya tidak benar melainkan kenyataan terakhir kami selepas sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang terakhir pada Nov 2022 yang lepas,” kata kenyataan itu.

Katanya, mereka juga menyatakan pendirian dan keputusan secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pada Nov lalu, PH Sabah menyatakan yang mereka akan memberi sokongan penuh kepada Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui kerajaan negeri hingga habis tempoh penggal DUN.

Terdahulu, timbul desas-desus di media sosial yang mengatakan kerajaan Sabah pimpinan Hajiji bakal tumbang.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin GRS tampil menafikan perkara itu dan menyifatkan khabar angin berkenaan hanya bertujuan menjadikan keadaan politik di Sabah tidak stabil.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan GRS Joniston Bangkuai menegaskan, sebarang cubaan mana-mana pihak untuk mengambil alih kerajaan harus menunggu sehingga pilihan raya negeri akan datang.

“Kenapa perlu menumbangkan kerajaan pada ketika kita harus fokus kepada usaha membangunkan negeri,” katanya.

No comments: