TENGKU ZAFRUL DAN REKOD HEBAT YANG DICATATNYA

 

Ketika ramai orang masih tercari-cari jawapan bagaimana Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz boleh dilantik lagi sebagai menteri dalam pentadbiran Anwar Ibrahim, seorang tokoh politik veteran serta berpengalaman, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar melihat perkara itu dalam sudut yang berbeza.

Kata beliau, dengan kekal lagi dilantik dalam kabinet baru-baru ini, Tengku Zafrul telah memperlihatnya dirinya seorang yang hebat serta luar biasa.

Bekas CEO CIMB Bank itu, tambah Tengku Azlan, mula dilantik sebagai Menteri Kewangan ketika era kepimpinan Mahiaddin Md Yasin, kemudian terus dikekalkan di jawatan sama selepas Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan kini sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula dibawah Anwar yang menerajui negara.

“Ini menunjukkan beliau bukan saja berjaya kekal sebagai menteri di bawah tiga Perdana Menteri, malah melalui Perdana Menteri yang datang daripada tiga parti yang berbeza.

“Mahiaddin daripada Bersatu, Ismail Sabri daripada UMNO dan Anwar daripada PKR.

“Perkara ini memperlihatkan Tengku Zafrul seorang yang hebat serta luar biasa yang pencapainnya tidak mampu dilakukan oleh orang lain,” jelas Tengku Azlan lagi.

Tegasnya, tidak pernah ada mana-mana pemimpin yang mampu kekal sebagai menteri di bawah tiga Perdana Menteri yang datang daripada parti yang berbeza.

“Ini adalah bukti nyata beliau seorang yang hebat dan kita patut berbangga serta mengucapkan tahniah kepadanya,” tambah beliau.

Lebih daripada itu, ujar Tengku Azlan lagi yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan sebelum ini, ketika dilantik oleh Mahiaddin dan Ismail Sabri sebelum ini, Tengku Zafrul bukan seorang Ahli Parlimen yang menang bertanding sebagai Ahli Dewan Rakyat, sebaliknya hanya melalui lantikan sebagai Ahli Dewan Negara.

“Kekalnya lagi Tengku Zafrul dalam kabinet Anwar baru-baru ini turut perlu sekali lagi melalui lantikan sebagai Senator kerana beliau kalah bertanding mewakili BN di kawasan Parlimen Kuala Selangor kepada calon PH, Dzulkifly Ahmad.

“Ini bermakna sekali lagi juga beliau melakukan pencapaian yang sangat hebat dan luar biasa, walaulah kalah bertanding tapi masih dapat jawatan menteri, sedangkan Dzufkifly yang menang sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangot tidak dapat jawatan apa-apa.

“Secara jujur, kita sebenarnya patut sangat berbangga dengan pencapaian hebat beliau itu.

“Dapat jadi menteri di bawah tiga Perdana Menteri berbeza yang datang daripada parti yang berbeza, kemudian setelah kalah bertanding pun tetap kekal lagi sebagai menteri, kalau pun ia bukan suatu rekod dunia, tapi pasti ini adalah rekod luar biasa lagi hebat yang tidak pernah berlaku sebelum ini di negara kita,” kata Tengku Azlan lagi.

Ini jugalah, kata Tengku Azlan, erti sebenar slogan “Malaysia Boleh” yang selama ini menjadi pembakar semangat bagi rakyat negara ini untuk melakukan apa yang ternampak mustahil dan luar biasa.

“Tengku Zafrul telah membuktikan semangat “Malaysia Boleh” dalam dirinya berada di tahap paling tinggi sekali,” kata bekas Ahli Parlimen Jerantut selama tiga penggal itu.

Dengan itu, tegas Tengku Azlan seterusnya, selain kita wajar berbangga dengan pencapaiannya itu, Tengku Zafrul diharapkan lebih cemerlang dengan tugas barunya di Kementerian MITI, terutama dalam menarik kedatangan pelabur asing bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan pencapaian dan rekod luar biasanya itu, menurut Tengku Azlan, tidak mustahil Tengku Zafrul juga mampu melakukan sesuatu yang luar biasa di kementerian MITI yang baru diterajuinya itu. – ShahbudinHusin 05/12/2022.