TAK TUKAR BAJU BUKTI ANWAR LEBIH UTAMAKAN KERJA, TAK FIKIR PENAMPILAN DIRINYA


 Sebahagian daripada kita tentu sedar Anwar Ibrahim adalah seorang yang kuat bekerja dan seolah-olah tiada istilah penat dalam kamus dirinya.

Ketika musim kempen PRU15 lalu, setiap hari beliau berkempen ke negeri-negeri yang berbeza dengan tujuh hingga lapan program perlu dihadirinya pada setiap hari.

Dalam usia semuda 75 tahun, melakukan rutin begitu setiap hari selama hampir sebulan lamanya bukan calang-calang orang ada kemampuan untuk melakukannya.

Kecuali semasa kempen PRU14 di mana beliau tidak terlibat kerana berada di penjara, ketika PRU13 pada tahun 2013, begitulah juga gigihnya Anwar berkempen ke sana ke mari untuk memenangkan parti.

Berkat usaha gigihnya itu, PH yang terjelepuk dalam PRN Melaka dan Johor sebelum ini, akhirnya berjaya bangkit pada PRU15 baru-baru ini dengan memenangi jumlah kerusi terbanyak sekali berbanding semua pesaingnya yang lain.

Melalui pembentukan kerajaan perpaduan sebagaimana dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong, Anwar akhirnya diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 bagi Malaysia.

Dengan kebiasaan gigih bekerja dan tiada istilah penat dalam dirinya, hari-hari awalnya sebagai Perdana Menteri sekarang sentiasa padat dengan jadual mesyuarat, menghadiri program, memenuhi temujanji dan rutin seharian dengan tugas-tugas pejabat.

Apa yang ketara di sebalik kesibukan Anwar yang lebih mencengkam itu, keutamaannya ialah bekerja dan bukan memikirkan penampilan diri.

Tanpa ingin menyebut nama secara khusus, beberapa Perdana Menteri sebelum ini, di sebalik kesibukan dengan tugas dan program seharian, tetapi mereka dilihat amat mementingkan penampilan diri.

Kalau tiga program dihadiri di mana media dan lensa kamera sedia menanti, biasanya tiga helai baju yang berbeza jugalah yang akan mereka pakai.

Maka, apabila disiarkan di akhbar dan ditonton melalui tv, tiga penampilan yang berbeza jugalah yang ditonton oleh rakyat, orang-orang kampung dan saudara-mara yang tentunya turut berasa bangga.

Sesetengah baju itu pula amat berjemama sehingga menjadi perhatian ramai serta didedahkan sekali harganya.

Tetapi, nampaknya tidak bagi Anwar yang sedar beliau menjadi Perdana Menteri ketika negara sedang bermasalah, banyak kerja perlu diuruskan serta hutang yang menggunung sebagai bebanan.

Selain tidak mengambil gaji untuk memperlihatkan keprihatinan dan simpatinya kepada nasib rakyat, penampilan sehariannya juga amat sederhana.

Beliau kini memperkenalkan pemakaian kot tanpa tali leher sebagai gambaran untuk memperlihatkan gaya sederhana, tidak terlalu terikat dengan protokol, terbuka dan senang diajak berbicara.

Kecuali dalam pertemuan formal, ketika mengadap Agong misalnya, barulah ketika itu beliau mengenakan kot dengan tali leher yang lengkap.

Ketika hari Jumaat, beliau hanya memakai baju Melayu – selalunya biru muda adalah warna pilihannya – dengan samping orang kebanyakan yang dipakai di bahagian dalam bajunya itu.

Ini juga memperlihatkan gaya sederhana, santai dan terbuka yang ingin ditonjolkannya.

Tidak seperti ada pemimpin tertentu, selain suka berpakaian baju Melayu jenis mahal serta lengkap dengan samping macam nak kahwin lagi satu, harga samping yang dipakai pula kadangkala senilai sebuah kereta mahalnya.

Paling menjadi perhatian ialah pada Jumaat lalu, Anwar malah tidak menukar bajunya walau banyak program yang dihadirinya itu turut disilaukan dengan pancaran lampu kamera untuk dirakam dan disiarkan di akhbar dan tv.

Pada tengahari, selepas menunaikan solat Jumaat, beliau menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan parti-parti yang membentuk kerajaan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, kemudian bersolat maghrib di Seri Perdana sambil menghadiri majlis ilmu dan meraikan ulama besar daripada luar negara, seterusnya ke Genting Highlands selepas itu untuk meninjau tragedi tanah runtuh yang sehingga ini telah mengorbankan 24 nyawa.

Ketiga-tiga program tersebut itu dihadiri Anwar dengan tetap memakai baju Melayu biru muda yang sama yang dipakainya sejak pagi.

Ternampak bagi Perdana Menteri, dalam kesibukan bekerja sambil berkejar dengan masa, keutamaannya ialah menunaikan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin, bukan memikirkan soal penampilan dirinya.

Sikapnya yang tidak kisah jika dilihat rakyat dan orang kampung melalui akhbar dan tv hanya memakai baju yang sama dalam tiga program berbeza pada hari yang sama adalah gambaran betapa menjadi Perdana Menteri bukan untuk glamour bagi Anwar.

Keutamaan bagi Anwar adalah bekerja untuk negara dan paparan yang diperlihatkannya itu setidak-tidaknya memberi lebih keyakinan kepada kita sebagai rakyat bahawa cahaya di hujung terowong mungkin lebih cepat membawa sinar daripada jangkaan yang sepatutnya. – ShahbudinHusin 18/12/2022.



No comments: