KERANA MULUT KEPERCAYAAN RAKYAT GOYAH

 

Jangan tubuh kerajaan dengan pentaksub kaum, Baru beritahu GPS.



ADUN Ba’Kelalan, Baru Bian mengkritik kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang ADUN di Sarawak menggesa Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak sebarang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan parti komponennya, PAS bagi membentuk kerajaan persekutuan kerana parti itu “pentaksub perkauman”.

Baru Bian yang juga bekas ketua PKR Sarawak berkata, Ahli Parlimen di negeri itu perlu mengekalkan keharmonian yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Beliau merujuk “kenyataan tidak benar yang bahaya” untuk menghasut orang Islam menentang penganut Krisitian yang dikaitkan dengan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin baru-baru ini, berhubung cubaan didakwa untuk “mengkristiankan Malaysia” oleh Pakatan Harapan.

“Orang Kristian di Sarawak menolak kenyataan ini dan kami tidak mahu (Pengerusi GPS, Abang Johari Openg) bekerjasama dengan PN dalam apa jua cara atau bentuk,” kata Baru dalam kenyataan.

Muhyiddin kemidian menjelaskan ucapannya diambil di luar konteks oleh lawan PN bagi mencemarkan imejnya.

Baru turut mendakwa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menunjukkan dirinya sebagai “pentaksub agama dan kaum” dengan menyalahkan orang bukan Islam sebagai punca rasuah.

Katanya, orang Sarawak belum melupakan penghinaan Hadi terhadap Orang Asal Sarawak dengan merujuk mereka sebagai pengundi “jahil bercawat”.

“Saya menggesa semua Ahli Parlimen dalam GPS lantang menolak PN dan PAS.

“Kita nyatakan pendirian kepada premier untuk menolak kerjasama dengan pentaksub agama dan kaum,” kata ADUN Ba’Kelalan itu.

Terdahulu, FMT melaporkan GPS dikatakan berbalah dengan rancangan gabungan itu bekerjasama dengan PN bagi membentuk kerajaan persekutuan, dengan sumber parti memberitahu, sebahagian pemimpin “takut” untuk bekerjasama dengan PAS.

Semalam, Abang Johari dilaporkan berkata, GPS setuju bergabung dengan PN, Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah untuk membentuk kerajaan baharu yang stabil. Tetapi, BN menafikan ia berunding dengan GPS atau PN mengenainya.

Pemimpin BN mengadakan pertemuan dengan pemimpin PH di Kuala Lumpur hari ini. Bagaimanapun, sebilangan pemimpin Umno menggesa BN menjadi pembangkang dan membiarkan PN dan PH membentuk kerajaan.

No comments: