Apa yang berlaku dalam UMNO sekarang ialah urusan untuk membentuk kerajaan selepas berakhirnya PRU15, Sabtu lalu.
Walaupun BN hanya mendapat 30 kerusi Parlimen, mereka sepatutnya berbangga kerana dipelawa oleh PH yang memenangi 82 kerusi Parlimen untuk bersama-sama membentuk sebuah kerajaan perpaduan.
Berbeza dengan PN yang mendapat 73 kerusi Parlimen, mereka tidak datang kepada BN untuk membentuk kerajaan, sebaliknya pergi ke GPS di Sarawak terlebih dahulu.
Hanya melalui kenyataan GPS oleh Abang Johari, mereka menyebut kesediaan membentuk kerajaan bersama PN, BN dan juga GRS di Sabah.
Realitinya, baik PN ataupun GPS, mereka tidak pernah berhubung secara terus dengan BN.
Dalam hal ini, selain PH secara rasmi mengajak BN untuk membentuk kerajaan, Anwar Ibrahim juga sedia datang ke Seri Pacifik, bersebelahan WTC untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN.
Ini menunjukkan keikhlasan yang tinggi telah ditunjukkan oleh Anwar kepada UMNO dan BN.
Lebih daripada itu, PH juga dengan jiwa besar telah memberi laluan serta sokongan kepada BN untuk mengetuai kerajaan negeri di Perak di mana Saarani Mohamad telah pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, petang semalam.
Sama seperti di Pusat, kedudukan kerajaan negeri Perak adalah tergantung dan tiada parti yang boleh menubuhkan kerajaan secara sendirian.
Satu lagi negeri yang tergantung kedudukannya ialah Pahang dan jika tiada aral melintang, BN juga akan mengetuai kerajaan negeri dan Wan Rosdy Wan Ismail bakal dilantik semula sebagai Menteri Besar dengan sokongan serta laluan oleh PH.
Bererti, UMNO Perak dan Pahang sudah ada masa depan, meskipun di peringkat Pusat masih tiada ketentuan.
Oleh kerana PH mendapat jumlah kerusi paling tinggi, Anwar adalah paling layak untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, baik sama ada melalui kerajaan minoriti atau dengan mencukupkan bilangan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen.
Tetapi, kesediaan Anwar dan PH mengajak BN untuk membentuk kerajaan haruslah dilihat sebagai suatu penghormatan yang besar.
Urusan membentuk kerajaan ini, sepatutnya hanya terhad kepada Ahli-Ahli Parlimen BN dan pimpinan tertinggi UMNO serta BN saja dalam membuat keputusan.
Mereka yang lain – yang tiada jawatan dalam hieraki, yang kalah, yang tidak bertanding dan yang digugurkan sebagai calon – tidak harus turut sibuk mengeluarkan kenyataan atau mengadakan sidang akhbar.
Sekadar berjawatan dalam UMNO bahagian, bukan dalam bidang kuasa yang selayaknya untuk mencampuri urusan pembentukan kerajaan ini, apa lagi jika kenyataan itu berbaur hasutan dan cubaan mengelirukan ahli-ahli bawahan.
Duduk diam-diam sudahlah dan beri ruang kepada Zahid Hamidi serta pimpinan tertinggi UMNO dan BN menguruskan hal ini demi manfaat UMNO secara keseluruhannya.
Namun, apa yang harus difikirkan, peluang berada dalam kerajaan bersama PH adalah kesempatan terbaik untuk UMNO membina kekuatan bagi tujuan bangkit semula dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ini kerana UMNO tidak bersaing dengan parti-parti dalam PH dari segi pembahagian kerusi, tidak seperti dalam PN di mana UMNO saling berebut kerusi dengan Bersatu dan juga Pas.
PH dan parti-parti di dalamnya turut tidak pernah berniat mahu menguburkan UMNO sebagaimana Pas dan Bersatu berniat begitu.
Saling bekerjasama dan bantu membantu antara PH dan BN adalah resepi terbaik, bukan saja untuk menjadikan negara ini kekal sederhana dan terhindar daripada anasir pelampau serta ektremisne, malah memberi ruang seluasnya untuk UMNO bangkit semula dalam PRU16 akan datang.
Oleh itu, bergabung membentuk kerajaan bersama PH tidak menggelapkan masa depan UMNO sebenarnya, yang mungkin gelap hanyalah masa depan Annuar Musa saja. – ShahbudinHusin 22/11/2022.