PN lepasi majoriti 112 tubuh kerajaan mustahil, tidak konklusif - Saifuddin Nasution


 Kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa gabungan itu telah mendapat Surat Akuan Berkanun melebihi 112 dan boleh membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu adalah mengelirukan dan bertentangan dengan peraturan menubuhkan kerajaan ketika ini.


Menurut Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kenyataan Hamzah itu tidak selari dengan kenyataan pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang tidak membenarkan mana mana Ahli Parlimen berunding secara berasingan dengan mana mana parti.


"Kami mengambil pendirian berdasarkan kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa sebarang akuan berkanun yang lain, atau sebarang rundingan dengan parti-parti lain oleh mana mana Ahli Parlimen Umno adalah tidak sah dan tidak boleh diambil kira sebagai bukti sokongan majoriti kepada mana-mana calon Perdana Menteri.


"Ia juga boleh menyebabkan mereka hilang kerusi seperti yang dipersetujui dalam akuan berkanun yang telah mereka tandatangani," katanya.


Tegas Setiausaha Agung KEADILAN itu, PH pada waktu ini telah memasuki fasa rundingan yang serius dengan BN ke arah menubuhkan kerajaan bersama.


"Rundingan tersebut telah membincangkan perkara-perkara utama yang menyentuh tentang kestabilan politik dan pemulihan ekonomi, dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.


"Hasil perbincangan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.


Selain itu, kata beliau, PH mengambil maklum penafian Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa satu kenyataan media yang tular menyatakan 10 Ahli Parlimen Umno menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak benar.


"Oleh yang demikian, PH berpendirian kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional itu adalah pramatang, mustahil dan tidak konklusif berkait angka sokongan majoriti yang didakwa telah mereka capai," katanya lagi.

No comments: