BUKTI LEBIH JELAS SEBAB PENGARAH SENDIRI AKUI DUIT MASUK.....TAPI NAJIB BELUM LAI MASUK MASUK

 


Bekas pengarah 1MDB setuju RM2.28 bilion masuk akaun Najib






Bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail berkata, beliau tidak meletakkan
 jawatan daripada lembaga pengarah kerana mempunyai tahap
 kepercayaan tinggi terhadap Najib Razak ketika itu.

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah 1MDB bersetuju dengan pihak pendakwaan hari ini bahawa sejumlah RM2.28 bilion dana milik syarikat berkaitan kerajaan itu akhirnya masuk ke dalam akaun bank peribadi Najib Razak antara 2011 dan 2014.

Ismee Ismail yang disoal balas pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram, bersetuju dengan perkara itu selepas beliau dibawa melalui beberapa carta yang menunjukkan aliran wang melalui proses berlapis.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib sebelum ini, saksi pendakwaan ke-13 itu berkata, bekas perdana menteri itu tidak mendapat manfaat daripada projek dan pinjaman yang diambil oleh 1MDB.

Sri Ram: Ia telah dikemukakan kepada anda (oleh pembelaan) bahawa tertuduh tidak mendapat faedah atau ia dilakukan untuk kepentingan negara. Adakah anda ingin meneliti semula jawapan itu?

Ismee: Ya, daripada carta, sebahagian daripada dana masuk ke dalam akaun Najib.

Ketika prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Sri Ram berkata, RM60.6 juta telah dimasukkan ke dalam akaun Najib di bank AmIslamic di sini antara Februari dan Jun 2011 dalam dua transaksi.

Beliau berkata, wang itu adalah daripada pengambilan RM5 bilion bon Islam yang diterbitkan oleh dana kerajaan negeri Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudiannya menjadi 1MDB.

Sri Ram berkata, wang itu datang daripada Good Star Ltd, iaitu sebuah syarikat yang dipercayai dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

RM90.8 juta lagi daripada 1MDB Energy Ltd yang mula-mula disalurkan kepada Aabar Investments PJS Ltd (BVI) dan kemudian ke Blackstone Asia, iaitu sebuah syarikat yang dikawal oleh Low melalui rakan sekutunya, Tan Kim Loong.

Sri Ram berkata, RM90.8 juta itu masuk ke dalam akaun Najib antara Oktober dan November 2012 dalam dua transaksi.

Antara Mac dan April 2013 beliau berkata, RM2.08 bilion (USD681 juta) telah dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri melalui Tanore Finance Corporation.

Akhir sekali katanya, RM49.9 juta lagi dimasukkan ke dalam akaun Najib pada 2014.

Ismee adalah pengarah 1MDB antara 2009 dan 2016 dan ketua pegawai eksekutif Tabung Haji dalam tempoh sama.

Sri Ram juga bertanya kepada saksi apakah sikap lembaga pengarah 1MBD apabila arahan datang daripada Najib.

“Saya fikir ia bagus, terutama untuk usaha sama antara 1MBD dan PetroSaudi International (PSI), khususnya ketika saya menjadi ketua pegawai eksekutif Tabung Haji,” katanya.

Ismee berkata, beliau mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Najib pada masa itu, dan itulah sebabnya beliau tidak meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah 1MDB seperti yang dilakukan oleh pengerusinya ketika itu, Bakke Salleh, pada 2009.

Najib kini dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa disimpan dalam akaun peribadi AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung.

No comments: