Pertembungan dengan Rafizi tak pecah belah PKR, kata Saifuddin
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menolak pandangan seorang penganalisis politik yang meramalkan akan berlaku perpecahan dalam PKR akibat perebutan jawatan timbalan presiden antara beliau dan Naib Presiden Rafizi Ramli.
Beliau berkata, sejarah 2018 ketika pertembungan Rafizi dan Azmin Ali bagi jawatan timbalan presiden tidak akan berulang.
“Saya nak cakap bahawa itu tidak akan berulang (pertembungan seperti Azmin dan Rafizi).
“Apa yang berlaku selepas menang kemudian khianat. Sekarang ini kemungkinan ada dua sahaja. Sama ada saya atau Rafizi. Saya tak nampak ‘karakter’ kami ini akan mengulangi apa yang Azmin buat,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik di sebuah hotel di sini.
Sebelum Ini, James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, akan berlaku perpecahan dalam PKR susulan perebutan jawatan timbalan presiden antara Saifuddin dan Rafizi.
Chin berkata, ia mengimbau kembali pemilihan terakhir PKR pada 2018, apabila parti itu berpecah antara Rafizi dan bekas timbalan presiden, Azmin.
PKR akan mengadakan pemilihan parti dari 13 hingga 18 Mei depan. Pencalonan akan diadakan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau terbuka untuk kerjasama dengan mana-mana pihak.
Katanya, selepas mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, banyak pihak berhubung dengannya untuk bekerjasama.
“Saya terbuka dengan itu. Sebenarnya ‘cai’ (kem) saya adalah seluruh kepimpinan PKR yang menawarkan diri untuk masuk bertanding. Sebab cai ini ada kelebihan dan kekurangan,” katanya.