ADAKAH RAKYAT JOHOR BERUBAH ?

 

Hari ini hari mengundi di Johor. Semalam aku scroll newsfeed, dan dalam ruangan komen, ramai yang menyebut tentang keyakinan tahap maksimum BN untuk memenangi PRN kali ini.

Sebahagiannya ada yang sakit hati. Sebahagian lagi pula takut. Tapi bagi aku, itu normal. Walau pada keadaan paling lemah pun, setiap parti yang masuk bertanding akan cuba kelihatan yakin.

Lagipun keyakinan Zahid dan pemimpin UMNO yang lain mungkin lahir akibat daripada sambutan yang mereka terima daripada rakyat dalam setiap program yang dibuat oleh UMNO.

Tapi tak usah risau sebab UMNO memang terkenal dengan membeli sokongan. Kehadiran yang ramai bukanlah petanda kekuatan mereka. Mungkin ada yang dari kawasan atau negeri lain. Mungkin juga ada yang di bayar untuk hadir.

Itu yang bagusnya. Kalau ingat ketika PRU14 dulu pun begitu juga. Sokongan palsu begini buatkan pemimpin UMNO leka. Pembodek mereka beli sokongan untuk buat mereka seronok sampaikan kebenaran disembunyikan.

Tapi hakikatnya, UMNO pada ketika ini lebih kuat berbanding UMNO ketika PRU14. Ini kerana UMNO bijak memainkan isu rakyat serta menyalahkan kerajaan yang ada walaupun mereka sebahagian daripada kerajaan itu.

Selain itu, cerita yang mereka jaja, menyalahkan PH yang memerintah hanya 22 bulan (sedangkan 60 tahun mereka yang memerintah) berjaya pengaruhi pemikiran rakyat marhaen.

Manakala di pihak PH pula, masih terlalu berikan tumpuan kepada isu korupsi. Asyik mengulang ayat kleptokrasi tetapi isu rakyat dipandang sepi.

Bukan rakyat tak peduli soal korupsi tapi itu bukan lagi isu utama. Tengok Najib, walaupun telah sah bersalah di mahkamah, tapi sebab dia pandai olah isu rakyat, maka ada yang memujanya semula.

Selain itu, sesetengah pemimpin PH masih lagi tak sedar kebencian rakyat terhadap Mahathir. Masih lagi nak menghimpit Mahathir. Dan itu memberikan kelebihan kepada lawan.

PH sepatutnya lari daripada Mahathir. Baru boleh tawarkan kepada rakyat satu idea kepimpinan yang segar. Penting untuk PH dilihat berbeza daripada PH Mahathir yang rakyat lihat sebagai gagal.

Macam aku sebut tadi, UMNO sedang kuat. Tapi kekuatan UMNO bukan disebabkan oleh parti itu sendiri tetapi lebih disumbangkan oleh kelemahan PH sendiri.

Barisan kepimpinan UMNO sangat tidak berkualiti. Rakyat sedar akan hal itu. Tapi bagi rakyat, mereka tidak ada pilihan lain. Sebab selain Mahathir, DAP juga banyak melahirkan ketakutan di kalangan rakyat terutama Melayu.

Manakala mereka yang sedar akan kebobrokan UMNO pula, mula menjauhkan diri daripada politik kerana hilang keyakinan terhadap PH atas sebab yang aku tuliskan di atas.

Senang cerita, semenjak memerintah selama 22 bulan dahulu, pemimpin PH semakin lupa sentimen rakyat. Ramai yang jadi ketagih jawatan menteri hingga lupa kehendak rakyat.

Ada yang letakkan kesalahan tentang kelemahan PH in ke atas DS Anwar. Atas sebab itu mereka pun minta DS Anwar berundur.

Sedangkan yang bersalah adalah mereka yang menjawat jawatan menteri dalam tempoh 22 bulan tersebut. Mereka yang hancurkan kepercayaan rakyat dengan menjadi boneka Mahathir. DS Anwar tak pegang apa-apa jawatan pun. Jadi merekalah yang sepatutnya berundur untuk selamatkan PH.

Apapun, untuk PRN ini, aku jangka BN akan berjaya membentuk kerajaan. Cuma mungkin tak dapat majoriti dua pertiga. Rasanya tak banyak berbeza dengan PRU yang lepas.

Siapa pun menang, aku tetap marhaen. Tetap kena pergi kerja untuk cari duit. Tetap kena bayar cukai pendapatan. Tak macam mereka yang menang, boleh enjoy. Boleh lupakan pengundi dan datang semula selepas lima tahun nanti.

Selamat mengundi kepada rakyat Johor. Semoga diberikan ilham untuk memilih yang terbaik demi masa depan negeri ini.

Raja Gelap