PETALING JAYA: Jika semua anak muda Johor laksanakan tanggungjawab dan keluar mengundi hari ini, ‘tsunami anak muda’ tidak mustahil terbentuk, kata seorang penganalisis.
Malah, Nirwandy Mat Noordin berkata, corak pengundian anak muda hari ini boleh dijadikan ‘cermin’ untuk melihat parti apakah yang menjadi pilihan mereka pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.
“Tsunami anak muda akan ditentukan dengan bagaimana pola atau corak pengundian lebih kurang tujuh juta pengundi muda pada pilihan raya.
“Maka mereka ini akan jadi indikator untuk cerminan PRU, parti mana yang mereka akan sokong…sama ada mereka akan menyokong parti baru, BN, PN atau PH,” katanya kepada FMT.
Lebih 2.5 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor kali ini, termasuk 749,731 pengundi baharu. Daripada jumlah itu, 175,000 adalah pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.
Hari ini, rakyat Johor akan keluar mengundi selepas DUN negeri itu dibubarkan 22 Jan, atas alasan untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Selepas kematian ADUN Kempas, Osman Sapian (BN), DUN Johor diterajui Barisan Nasional (BN) yang hanya memiliki 28 kerusi DUN, lebih satu kerusi daripada pembangkang iaitu 27 kerusi.
Keadaan itu meletakkan BN dalam situasi cemas, sebelum DUN Johor dibubarkan dengan perkenan Sultan Johor.
Nirwandy yang juga Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media UiTM berkata rakyat Johor bertuah kerana boleh memilih, berdasarkan pengalaman ditadbir tiga buah kerajaan negeri sebelum ini.
“Mereka berada dalam zaman BN, PH dan PN. Ketiga-tiga ini akan beri perbandingan dari segi sokongan, prestasi ahli-ahli gabungan politik dan ini akan tentukan parti manakah yang lebih baik dan ini sudah tentu akan mempengaruhi pilihan raya umum kelak,” katanya.
Johor adalah kubu kuat Umno-BN sehinggalah tsunami politik pada PRU 2018 menyaksikan negeri itu bersama Putrajaya dan beberapa negeri lain ditawan PH.
Bagaimanapun PH sendiri tumbang 22 bulan kemudian, dan ketidakstabilan politik berpanjangan di Johor sehinggalah DUN negeri itu dibubarkan.