ELOK LA....PAS PUN PERNAH KATA BERSENDIRIAN KUAT...APA DA HAL.....ELOK..ELOK...UMPAMA SLOTH BERSENDIRIAN MEMANJAT POKOK

 


Jangan paksa Umno ubah pendirian terima Bersatu, PAS diberitahu




PETALING JAYA: PAS diminta tidak terlalu memaksa Umno untuk mengubah pendirian dan dasarnya yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, walaupun PAS menyebut ia mempunyai strategi taktikal untuk mengikat Umno dan Bersatu, namun beliau yakin usaha itu tidak akan berhasil.

“Kalau dia (PAS) ada strategi taktikal, kita tunggulah…cuma saya dan pemimpin Umno yang lain sudah berkali-kali sebut kita tak menutup pintu untuk bersama PAS tetapi PAS tidak bolehlah asyik memaksa Umno untuk mengubah pendirian dasar kami, iaitu tidak boleh bersama dengan Bersatu dalam pilihan raya.

“Melainkan strategi dan taktikal PAS cukup hebat untuk mengubah pendirian dan dasar Umno, (tetapi) saya rasa benda itu tidak boleh berlaku,” katanya kepada FMT.

Pada Jumaat, Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam berkata, parti itu tidak akan berputus asa untuk mengikat kerjasama tiga penjuru antara PAS-Umno-Bersatu walaupun di luar kerangka Muafakat Nasional (MN).

Perkara itu dinyatakan sehari selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengisytiharkan parti itu tidak lagi berminat untuk menyertai MN kerana tidak mahu terpalit dengan imej rasuah sesetengah pemimpin Umno.

Mengulas lanjut Shahril berkata, keputusan Bersatu itu disifatkan sebagai “terlalu lewat” kerana Umno terlebih dahulu menyatakan pendirian untuk tidak mahu bekerjasama dengan parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun beliau berkata, pendirian terbuka Muhyiddin mengenai kerjasama parti itu dengan Umno memudahkan semua pihak untuk bercakap mengenai hala tuju parti.

Mengenai strategi pihak lawan yang cuba merujuk Umno dengan pelbagai gelaran, Shahril berpendapat itu hanyalah strategi digunakan oleh parti yang tidak mempunyai banyak tawaran untuk dihidangkan kepada pengundi.

Tegasnya, Umno ketika ini fokus untuk menarik undi atas pagar dan tidak akan termakan dengan mainan politik pihak lawan.

“Sebagai Ketua Penerangan Umno saya lebih gemar bercakap mengenai apa yang Umno kena buat untuk tarik pengundi atas pagar. Itu fokus kami, kami selesa dengan pendekatan sebegitu.

“Kalau parti lain berasa mereka tak banyak tawaran dan lebih banyak nak serang Umno untuk dapat banyak undi, itu hak mereka dan itu mainan politik, biarlah mereka buat, tapi saya yakin pengundi akan membandingkan dan menilai sendiri antara parti-parti yang ada,” katanya.