SIAPA MENTERI YANG SEDANG BERCUTI, APAKAH ARAHAN PULANG SEGERA BENAR2 AKAN DIPATUHI?

 

Dua persoalan lain turut timbul apabila Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua menteri kabinet membatalkan cuti masing-masing dan bagi yang sedang bercuti di luar negara agar pulang dengan segera.

Pertama, siapakah menteri-menteri yang sedang bercuti sekarang ini?

Oleh kerana permohonan cuti menteri-menteri mesti mendapat kelulusan Perdana Menteri, bermakna Ismail Sabri pasti tahu siapa mereka yang diberikan kelulusan bercuti ke luar negara itu.

Begitu pun, sediakah Ismail Sabri mendedahkan kepada umum siapakah menteri-menteri yang degil yang masih berada di dalam percutian masing-masing di luar negara, walhal sudah seminggu banjir melanda dan sehingga terpaksa diarah pulang dengan segera?

Ikut logik, disebabkan telah memalukan negara, malah Perdana Menteri juga turut dimalukan sama, nama-nama mereka seharusnya didedahkan secara terbuka.

Kedua, oleh kerana menteri-menteri yang sedang bercuti itu tentunya pergi dengan keluarga dan tidak mustahil turut disertai kawan-kawan rapat mereka, apakah arahan pulang itu benar-benar akan dipatuhi?

Bagaimana jika ada yang enggan pulang dan memberi pelbagai alasan?

Beranikah Ismail Sabri mengambil tindakan tegas terhadap menteri-menterinya yang enggan mematuhi arahannya?

Memandangkan Ismail Sabri mengeluarkan arahan pulang itu pada semalam iaitu Jumaat, dari segi logiknya menjelang Isnin ini semua menteri sepatutnya sudah ada di dalam negara dan sedia untuk bersama rakyat yang sedang ditimpa kesusahan akibat bencana banjir.

Atau setidak-tidaknya pada Rabu nanti iaitu ketika mesyuarat kabinet diadakan, semua menteri wajib ada menghadiri mesyuarat tersebut.

Jika masih ada yang tidak kembali, ia dengan sendirinya menunjukkan arahan Perdana Menteri tidak begitu dipedulikan oleh menteri-menterinya.

Akhirnya, Ismail Sabri sendiri akan dilihat sebagai Perdana Menteri yang gagal.

Episod ini belum berakhir lagi sebenarnya, kita tunggu sehingga Isnin atau selewat-lewarnya Rabu untuk perkembangan seterusnya.

Apa pun, Ismail Sabri tidak harus lagi berdiam diri atau berlembut dengan perangai menteri-menterinya yang memalukan ini. – ShahbudinHusin 25/12/2021.



No comments: