Kenyataan Media Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor: Cabaran Shahrir Samad kepada Bersatu seolah ingkar titah Sultan Johor


 Kenyataan Media Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor: Cabaran Shahrir Samad kepada Bersatu seolah ingkar titah Sultan Johor


13 November 2021


1. Cabaran Ketua UMNO bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad kepada presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar parti itu menarik sokongan kepada menteri besar Datuk Hasni Mohammad seolah ingkar kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.


2. Baginda Sultan Ibrahim sebelum ini telah bertitah ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 agar semua parti politik di negeri ini tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan ketidakstabilan politik berlaku.


3. Lalu apa keperluan Shahrir Samad mencabar BERSATU untuk tarik sokongan kepada Menteri Besar? Apakah Shahrir Samad cuba menggagalkan titah Sultan Ibrahim?


4. Sebagai sebahagian daripada kerajaan, sepatutnya Shahrir Samad berkerjasama erat dengan BERSATU berbanding mengeluarkan kenyataan mencabar Mahiaddin menjatuhkan kerajaan negeri.


5. Masakan Shahrir Samad tidak tahu pilihanraya negeri akan terpaksa diadakan sekiranya cabaran itu disambut Mahiaddin?


6. Cukup-cukuplah dengan adegan UMNO-BERSATU saling bercakaran dan saling menjatuhkan. Di peringkat pusat UMNO menjatuhkan Mahiaddin, di peringkat negeri Perak, UMNO menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu, di Melaka pula pemimpin UMNO sendiri yang menjatuhkan kerajaan. Takkan UMNO-BERSATU nak ulang adegan semua ini di Johor?


7. Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara ketika ini, sewajarnya kita semua saling kerjasama memikirkan tentang kebajikan rakyat serta mencari solusi bagi membaiki kedudukan ekonomi dan hentikan segala percaturan politik merebut kuasa.


Sekian. 


Faezuddin Puad,

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor



No comments: