Cadangan debat untuk tonjolkan kualiti calon KM Melaka


RAIHAM MOHD SANUSI | | 13 November 2021

Anwar Ibrahim


SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tujuan beliau mencadangkan debat antara calon Ketua Menteri Melaka yang ditampilkan PH, Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) adalah bagi menonjolkan kualiti mereka sebagai pemimpin.


Ketua Pembangkang itu berkata, budaya debat dan berwacana sepatutnya dijadikan wahana terbaik bagi menyampaikan wawasan, misi serta matlamat mereka kepada rakyat demi kepentingan negeri sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


"Respons daripada calon Ketua Menteri Melaka dari BN bahawa beliau tidak bersedia untuk berdebat sangat tidak matang dan mengecewakan.


"PN pula nampaknya mungkin cenderung untuk pilih jalan yang sama kerana sehingga hari ini belum ada respons balas daripada mereka," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.


Hantaran Anwar di Facebook mengenai debat antara calon Ketua Menteri pada Sabtu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada Jumaat mencadangkan agar diadakan debat terbuka antara calon-calon Ketua Menteri Melaka sempena PRN kali ini bagi melonjakkan imej Malaysia sebagai negara demokrasi contoh.


Menerusi perkongsi video ucapannya yang turut dimuat naik menerusi hantaran itu, Anwar turut menekankan tentang mengapa perlunya ada perbebatan, perbahasan atau dialong antara ketiga-tiga calon Ketua Menteri itu.


Menurutnya, ruang perdebatan, perbahasan atau dialog dalam proses pilihan raya di negara ini merupakan sesuatu situasi yang harus diperbetulkan.


Tegas beliau, kesemua calon itu perlu menyatakan dasar dan usaha yang akan mereka lakukan sekiranya mereka menang dan dipilih rakyat pada PRN berkenaan.


"Ini supaya rakyat boleh pegang janji mereka dan tuntut supaya mereka melaksanakannya.


"Setakat ini hanya calon daripada PH, Adly Zahari yang bersetuju, yang lain (calon BN) elak nak lari dan satu lagi (calon PN ) tak tahu ke mana. Jadi kita tak nak tengok keadaan yang serabut di Melaka," katanya.


Rabu lalu, PH menamakan Adly yang juga Ketua Menteri Melaka dari tahun 2008 hingga 2020 merangkap Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai calon Ketua Menteri Melaka yang baharu.


Bagaimanapun, BN terlebih dahulu menamakan calon Ketua Menteri mereka iaitu bekas Ketua Menteri Melaka sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md Amin sejak pengumuman calon oleh parti-parti bertanding.


Namun berbeza bagi PN yang masih belum menamakan calon Ketua Menteri mereka sehingga kini.


Sebaliknya, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat hanya mengesahkan bahawa calon Ketua Menteri itu akan dipilih daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Katanya, PN akan mengumumkan nama calon berkenaan beberapa hari sebelum hari pengundian pada 20 November depan.


© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

No comments: