KITA LIHAT RAMAI RAMAI MANA AZMIN DAN TEH GANG NAK LARI...KITA LAWAN HABIS HABISAN
GEORGE TOWN: PKR Pulau Pinang akan mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka dan merampas semula kerusi yang bertukar tangan selepas penyandang meninggalkan parti itu untuk menyokong Perikatan Nasional pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang, Sim Tze Tzin yakin pengundi negeri itu tidak akan menerima “pembelot” pada PRU15 kerana tidak mudah melupakan kesusahan politik yang dibawakan wakil rakyat melompat ke parti ditolak rakyat.
Mengulas laporan mendakwa ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin mengintai kerusi tradisi kubu kuat PKR Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi Nurul Izzah Anwar, pada PRU15, Sim berkata, parti itu bersedia menghadapi sebarang cabaran kerana ia sudah dijangkakan.
“Kami mengalu-alukan sebarang cabaran daripada sesiapa sahaja. PKR bukan sahaja akan mempertahankan kerusi yang dipegangnya sekarang, kami juga akan bekerja keras untuk merampas kembali kerusi yang kami hilang kepada pembelot di DUN dan Parlimen,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, setiap pilihan raya adalah kompetitif dan parti itu sentiasa menghormati pilihan pengundi serta berharap calon yang menang akan tetap setia kepada pengundi mereka.
The Vibes semalam melaporkan Afif, yang juga bekas Exco Pulau Pinang, sedang mempertimbangkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15, tetapi menyerahkannya kepada kepimpinan Bersatu menentukannya.
“Masyarakat di Permatang Pauh, terutama di Seberang Jaya, tahu siapa Dr Afif. Mereka telah lihat saya bekerja untuk mereka.
“Sesetengah ahli politik mendakwa mereka bekerja untuk rakyat. Tetapi, rakyat tahu siapa yang jujur dan ada ketika mereka memerlukan bantuan,” kata Afif.
Bekas Exco Kesihatan Pulau Pinang itu melompat ke Bersatu pada Jun tahun lalu bersama Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman yang juga satu-satunya Ahli Parlimen PKR Pulau Pinang yang menyertai Bersatu.
Mereka yang meninggalkan Pakatan Harapan untuk menyertai Bersatu adalah Khalid Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).