Jawatankuasa khas perlu umum hasil siasatan kematian Adib, kata CUEPACS

 

CUEPACS berharap kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak terus dijadikan modal politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu hasil siasatan jawatankuasa khas ke atas kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diumumkan bagi menjamin ketelusan siasatan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, CUEPACS menaruh harapan tinggi agar keadilan untuk Allahyarham dituntut kerana ia penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang, terutamanya melibatkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara.“CUEPACS juga berharap isu ini tidak terus dijadikan modal politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak.

“Sebaliknya, fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah mencari pesalah terlibat, menuntut keadilan serta memberi jaminan perkara sama tidak berulang kepada mana-mana penjawat awam pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, CUEPACS mewakili semua penjawat awam, khasnya anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menyambut baik keputusan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes Adib.

“Keputusan kerajaan sejajar hasrat CUEPACS dan JBPM sendiri serta keseluruhan rakyat Malaysia agar kematian Adib dapat diberikan keadilan sewajarnya mengikut lunas undang-undang negara.”

Beliau berkata, CUEPACS menghargai dan berterima kasih atas keputusan kerajaan dalam meneruskan siasatan kes kematian Adib.

Katanya, kes itu tidak boleh dipandang remeh dan pesalah harus dicari dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan jawatankuasa khas akan dibentuk bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya ke atas kematian Adib.

Jawatankuasa khas itu yang akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar diberi enam bulan memperoleh dapatan dan cadangan untuk dibentangkan kepada Kabinet bagi tindakan susulan.

Adnan berharap anggota jawatankuasa khas itu akan menggunakan sepenuhnya enam bulan itu untuk menyelesaikan segala persoalan yang timbul di sebalik kematian Adib.

No comments: