BNM perlu siasat Pandora Papers

 

Kementerian Kewangan digesa mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuka siasatan penuh terhadap Pandora Papers yang membangkitkan persoalan berkenaan aliran wang haram keluar dari Malaysia, yang dianggarkan berjumlah AS$33.7 bilion.

Mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, BNM perlu menyiasat sepenuhnya perkara itu untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai apa-apa yang perlu disembunyikan tetapi tiada percubaan menutup Pandora Papers yang melibatkan rakyat Malaysia dan aliran wang haram.

“Terdapat lebih daripada 330 ahli politik yang didedahkan oleh Pandora Papers daripada 90 negara, yang malangnya termasuklah beberapa rakyat Malaysia yang terkenal.

“Pandora Papers adalah sebahagian daripada skandal aliran wang haram (IFF) yang didefinisikan oleh Global Integrity Report (GFI) sebagai dana yang diperoleh, dipindahkan, dan/atau digunakan secara haram merentas sempadan antarabangsa.

“Dana itu datangnya daripada sumber kegiatan jenayah dan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, pengubahan wang haram masih menjadi masalah serius dan GFI menganggarkan bahawa nilai tahunan IFF berkaitan perdagangan di dalam dan di luar negara membangun berjumlah, secara purata, sekitar 20 peratus daripada nilai keseluruhan perdagangan negara tersebut dengan ekonomi maju.

“Menurut laporan 10 tahun terbaru oleh GFI yang bertajuk Aliran Wang Haram ke dan daripada 148 Negara Membangun: 2006-2015, Malaysia kerugian antara AS$22.9 bilion (RM94.22 bilion) dan AS$33.7 bilion (RM138.66 bilion) dalam aliran keluar wang haram dari tahun 2006 hingga 2015,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut meluahkan rasa kecewanya terhadap Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun yang menolak usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan isu penting tersebut di Parlimen.

“Bagi membuktikan bahawa tidak ada yang perlu disembunyikan, siasatan yang dijalankan perlu menghukum mereka yang terlibat dalam IFF dan juga mengesyorkan langkah-langkah ketat untuk mencegah aliran wang haram keluar daripada Malaysia dan bagaimana meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik,” katanya. 

No comments: