Hantaran Facebook Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan ucapan tahniah kepada Ketua Penerangan parti itu, Shahril Sufian Hamdan yang baharu dilantik sebagai Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri mengundang kecaman warganet.
Orang
ramai dilihat menyelar dan menyindir pelantikan Naib Ketua Pergerakan Pemuda
Umno itu yang dianggap tidak perlu sama sekali ketika ramai rakyat terjejas
akibat pandemik Covid-19.
Ada
yang membangkitkan di mana 10 Tuntutan Rakyat yang Ketua Pergerakan Pemuda
Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah perjuangkan sehingga beliau menerangkan
sendiri satu persatu tuntutan tersebut kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk
Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Julai lalu.
“Ingatkan adalah sinar
dan harapan 10 tuntutan untuk rakyat. Akhirnya, jawatan saja depa bolot. Teruk
kena ‘kencing’ (tipu) ni,” kata Muhammad Muqqodim.
Pengguna Facebook,
WaeYie LK pula menegaskan tiada keperluan pelantikan tersebut untuk negara buat
masa sekarang dengan ramai rakyat amat susah, terdesak dan tertekan.
“Kerajaan sendiri sudah
banyak pakar yang berkaliber. Sudah tiba masanya negara kita melantik sesuatu
jawatan bukan atas dasar kuota parti,” ujarnya.
Pelantikan Shahril yang
dikatakan bakal mencabar Asyraf dalam pemilihan Umno itu juga berlaku pada
ketika sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan
M40 kini beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40.
“Hang lantik
orang hang. Aku lantik orang aku. Yang merana tiada
kerja dan makan adalah insan yang bernama rakyat,” kata seorang netizen.
Bahkan, sikap Umno yang
lantang bersuara ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang
diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebelum ini juga menjadi sindiran orang
ramai.
“Wow,
terus okey apabila Umno dapat banyak jawatan
penasihat,” perli Miro Jusuh.
Tidak kurang juga
warganet yang menyarankan agar jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Ekonomi) yang disandang Datuk Seri Mustapa Mohamed dimansuhkan susulan
pelantikan Shahril itu.
“Boleh dah hapuskan
jawatan Menteri Ekonomi!” sinis Muhammad Azlan Azenin.
Berikut 10 Tuntutan
Rakyat yang diketengahkan Pemuda Umno sebelum ini:
1. Segerakan Bantuan
Khas Covid-19 (BKC), jangan tunggu bulan Ogos. Itupun belum ada tarikh bulan
Ogos bagi tujuan pembayaran. Rakyat amat terdesak sekarang. (Nota: Nilai BKC
adalah RM250 untuk M40, RM800 untuk B40; RM1,300 untuk miskin tegar; RM100
untuk bujang)
2. Jangan berkira
sangat, luluskan sahaja kedua-dua kategori penerima BPR/BKC dan penerima
GKP-Geran Khas Prihatin (M40: BKC (RM250) + GKH (500) = RM750 sahaja; B40:
RM300 + GKH:RM500 = RM800 sahaja). Ramai mengadu dinafikan BPR/BKC kerana GKP
sedangkan GKP untuk bantu perniagaan terjejas sedangkan BPR/BKC lebih kepada
keperluan menampung kehidupan diri dan keluarga.
3. Permudahkan proses
rayuan tanpa perlu banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan. Karenah
birokrasi akan menyusahkan rakyat terutamanya M40 yang hanya menerima RM250
(takut-takut kos nak merayu akhirnya yang tinggal berbaki jika berjaya
sekalipun sudah tidak berbaloi).
4. LHDN wajar ambil kira
data terkini. Ramai di kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori
B40 sejak awal tahun ini ketika PKP 2.0 dan makin parah apabila PKP 3.0. Data
pembayaran cukai 2020 tidak menggambarkan realiti sebenar keadaan majoriti
rakyat!
5. Kerajaan wajar
menambah suntikan fiskal dengan meningkatkan jumlah BKC terutamanya untuk M40.
Nilai RM250 terlalu sedikit dalam keadaan rakyat sudah sampai ke peringkat
terdesak.
6. Tambah baik i-Citra
dengan dibenarkan pengeluaran secara ‘lump sum’ berbanding berkala setiap bulan
dan kadar lebih tinggi mengikut simpanan pencarum, contohnya RM10,000 atau
berkadaran dengan jumlah simpanan dalam Akaun KWSP.
7. Benarkan akses kepada
Akaun 1 KWSP dan permudahkan pengeluaran i-Citra tanpa perlu melalui karenah
birokrasi dalam pengeluaran dan permohonan.
8. Benarkan akses kepada
golongan T20 dan M40 untuk mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi
tujuan melangsaikan komitmen-komitmen seperti hutang akibat daripada pendapatan
yang terjejas secara mendadak.
9. Selaraskan kaedah
penawaran moratorium yang dibuat oleh bank-bank dengan tidak mengenakan faedah
terakru sehingga rakyat terpaksa membayar kos pinjaman lebih tinggi akibat
memilih moratorium. Perluaskan juga moratorium kepada agensi kerajaan termasuk
LPPSA.
10. Bantuan khas
kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil yang ramai mula terpaksa gulung tikar
akibat PKP 3.0 yang berpanjangan dan tiada berkesudahan.