Utamakan guru dalam rancangan vaksinasi Covid-19 – Nie Ching

 

Oleh Ghafar NS

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengutamakan guru-guru dalam mendapatkan vaksin imunisasi Covid-19, kata mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Pembukaan sekolah pada Januari lepas menunjukkan beberapa kes guru-guru didapati positif Covid-19 dan ini menimbulkan pelbagai persoalan.

Menurut beliau, ibu bapa khususnya perlu mendapat kepastian bahawa anak-anak mereka selamat apabila kembali ke sekolah.

“Pemberian vaksin Covid-19 kepada guru-guru ini adalah langkah penting untuk mewujudkan persekitaran yang selamat buat kanak-kanak dan memberikan kestabilan dalam ekosistem pendidikan,” kata Ahli Parlimen Kulai itu dalam satu kenyataan hari ini.

Malah kata beliau, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) juga telah meminta guru-guru diberikan prioriti dalam mendapatkan suntikan vaksin setelah para petugas barisan hadapan dan golongan rentan.

Jelasnya, ini adalah untuk memastikan guru-guru terlindung daripada Covid-19 serta dapat mengajar anak-anak murid mereka secara langsung.

“Lalu, secara beransur-ansur mengembalikan kita kepada keadaan sedia-kala,” katanya.

Nie Ching turut memberi contoh Menteri Pendidikan di Britain dan Ireland Utara yang tegas menyatakan bahawa guru-guru akan menjadi kumpulan yang diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19.

“Namun di Malaysia, Menteri Pendidikan kita masih lagi tercari-cari pita suaranya untuk bercakap mewakili pihak guru.

“Jadi, saya mendesak Menteri Pendidikan untuk tunjukkan kepimpinannya lalu meminta kerajaan memulakan proses pemulihan berkesan segera.” Tegas beliau.

Tambah Nie Ching lagi, guru-guru mestilah diutamakan agar mereka tetap selamat kerana mereka juga merupakan permata berharga negara.

“Pada masa-masa seperti ini, jasa mereka janganlah kita lupakan,” ujarnya.




No comments: