CALON PILIHAN CABANG ADALAH YANG TERBAIK



Image result for PKR


Pertamanya, syabas dan tahniah kepada Parti KEADILAN kerana telah menambah baik sistem dan kaedah pemilihan calon bagi mewakili parti di dalam PRU15 akan datang. Sudah tentu kaedah yang diperkenalkan ini adalah berpandukan kesan dan pengajaran dari sistem lampau yang cuba untuk diperbaiki bagi melahirkan calon yang lebih berwibawa dan mempunyai jati diri.

Permohonan untuk menjadi calon lebih terbuka adalah baik untuk demokrasi

Semua ahli KEADILAN dibenarkan untuk menawarkan diri menjadi calon asalkan ada penyokong dan pencadang dari kawasan yang ingin diwakilinya. Maksudnya, tidak lagi menjadi kewajipan seseorang yang ingin menjadi calon itu perlu disokong oleh Ketua Cabang. Kaedah ini boleh mengatasi masalah calon yang berkebolehan tetapi disekat atau dihalang oleh Ketua Cabang hanya kerana terdapat masalah peribadi di antara calon dan Ketua Cabangnya. Ini adalah kerana ketua Cabang menggunakan 'kuasa veto' atau mengikut kehendaknya sendiri tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Cabang. Di situ muncullah apa yang disebut 'kronisme' iaitu satu perbuatan yang sangat bertentangan dengan prinsip KEADILAN.

Permohonan calon wajib melalui Cabang

Apa yang terbaik? Meskipun semua ahli layak untuk menawarkan diri sebagai calon, tetapi lebih baik dan perlu diwajibkan iaitu perlu melalui Cabang iaitu Jawatankuasa Cabang, bukannya hanya melalui Ketua Cabang. Ketua Cabang tidak seharusnya membelakang Jawatankuasa Cabang di dalam memproses setiap permohonan calon. Sekiranya Jawatankuasa Cabang menolak permohonan seseorang calon untuk bertanding, sebaiknya permohonan itu tidak diterima dan tidak harus disokong oleh Ketua Cabang.

Ianya bertujuan agar setiap calon yang menawarkan diri untuk bertanding tahu menghormati Cabang kerana Cabang bertanggungjawab untuk menggerakkan jentera pilihanraya di semua kawasan yang ditandingi. Mana mungkin seseorang calon yang membelakangkan Cabang akan mendapat bantuan dan sokongan dari jentera pilihanraya yang diwujudkan? Tidak ada gunanya Jawatankuasa Cabang diwujudkan sekiranya calon yang dipilih tidak mendapat restu Cabang. Begitu juga tidak ada gunanya Jawatankuasa Cabang dibentuk sekiranya Ketua Cabang berkuasa mutlak memilih seseorang calon. Amalan 'kronisme' boleh dihapuskan sekiranya Jawatankuasa Cabang diberikan mandat untuk memilih mana-mana calon yang difikirkan layak untuk diangkat sebagai calon. Seramai mana pun calon yang menawarkan diri seharusnya perlu melalui Cabang terlebih dahulu.

Hapuskan budaya 'calon payung terjun'

Budaya calon 'payung terjun' ternyata banyak mendatangkan kesan negatif kepada parti. Kita pernah menyaksikan sewaktu kempen pilihanraya, terdapat perbuatan memboikot calon dan menutup bilik gerakan, bahkan sehingga ada yang mengambil tindakan drastik keluar dari parti kerana kecewa apabila calon yang dipilih bukan dari pilihan Cabang. Memang benar kita selalu sebut, parti lebih penting dari individu, tetapi kita harus ingat bahawa parti itu kuat dan berfungsi kerana Cabang. Parti dilihat lemah di satu-satu kawasan kerana Cabangnya lemah. Ertinya, kekuatan parti itu bergantung kepada kekuatan Cabang dan Ranting-Ranting di bawahnya. Jika kita anggap parti itu lebih penting dari individu, maka kita harus terima bahawa Cabang itu juga amat penting. Tiada seorang pun boleh melangkau Cabang jika mahu memenangkan parti.

Calon 'payung terjun' dianggap menghina dan merendahkan Cabang

Calon 'payung terjun' lazimnya dipengaruhi oleh faktor 'kronisme' samada dari pihak Pusat mahupun negeri. Lazimnya calon seperti ini bukanlah yang berkhidmat dan bekerja kuat di Cabang atau kawasan yang ingin ditandinginya. Bahkan kadangkala calon seperti ini tidak dikenali bukan sahaja oleh para pengundi bahkan di kalangan ahli Cabang itu sendiri. Meletakkan calon 'payung terjun' tanpa alasan yang munasabah adalah dianggap menghina dan merendah-rendahkan Cabang. Sekiranya pimpinan menganggap tiada satu pun calon yang diangkat oleh Cabang itu layak atau berpotensi untuk menang dan perlunya calun 'payung terjun', sewajarnya Cabang dimaklumkan terlebih dahulu agar Jawatankuasa Cabang benar-benar memahami mengapa calon-calon dari Cabang terpaksa ditolak dan mengapa calun 'payung terjun' itu wajar diangkat. Kaedah berunding ini perlu bagi mengelakkan sabotaj atau salah faham sehingga menjejaskan peluang kemenangan untuk parti.

Hargai mandat dari Cabang

Saya sering memetik kata-kata hikmat dari tokoh politik yang hebat, Almarhum Haji Suhaimi Said, bekas Ketua Cabang K.Krau yang juga bekas Pengerusi Biro Felda Pusat yang mengungkapkan kata-kata " Bekerja belum tentu menang, tidak bekerja sudah pasti kalah". Kata-kata hikmat ini boleh dijadikan "tangkal azimat' kepada semua bakal calon.

Parti telah menetapkan KPI kepada semua bakal calon dan mereka wajib memenuhi sebilangan besar dari keseluruhan KPI tersebut. KPI bukan bertujuan untuk menekan bakal-bakal calun, tetapi untuk diri mereka sendiri agar dapat membantu kemenangan. Setiap calun yang diangkat oleh Cabang wajar menghormati mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh Cabang. Mereka harus bekerja kuat bagi mencapai KPI yang ditetapkan. Sekiranya mereka berjaya memenuhi sebahagian besar dari KPI yang ditetapkan. sudah tentu memudahkan Cabang untuk membuat keputusan bahawa mereka adalah calon yang tepat untuk dipilih. Sekaligus, menafikan peluang pihak luar atau calun 'payung terjun' untuk mengambil tempat.

Penyelaras bukan jaminan untuk menjadi calun

Setiap yang dilantik sebagai Penyelaras samada di Parlimen atau Dun, mereka mesti bekerja seolah-olah mereka adalah calon walaupun Penyelaras tidak semestinya menjadi calon. Lazimnya, calon itu datangnya dari Penyelaras, maka wajiblah Penyelaras itu bekerja kuat sekiranya mahu menjadi calun.

WFAUZDIN NS

 

No comments: