Guru berisiko, pengamal media dipertimbang suntikan vaksin fasa pertama

 

Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah meminta Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin menyenaraikan guru terbabit dan keutamaan kepada yang berisiko tinggi serta memiliki komorbiditi (menghidap dua penyakit serentak, seperti kencing manis dan darah tinggi) jika dijangkiti Covid-19. (Gambar Facebook)

SEPANG: Guru dan pengamal media antara kumpulan dipertimbang menerima vaksin fasa pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula Rabu ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, ia dilihat wajar memandangkan sesi persekolahan akan dibuka Mac ini manakala pengamal media menjadi penyampai maklumat bagi pihak kerajaan terutama menjayakan program imunisasi.

Khairy berkata, beliau sudah meminta Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin menyenaraikan guru terbabit dan keutamaan kepada yang berisiko tinggi serta memiliki komorbiditi (menghidap dua penyakit serentak, seperti kencing manis dan darah tinggi) jika dijangkiti Covid-19.

Katanya, perkara itu akan dibawa bagi membolehkan keputusan dibuat dalam mesyuarat dengan Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).

“Kerajaan akan memenuhi keperluan guru dan pengamal media berdasarkan bekalan vaksin bagi fasa pertama ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hadir sama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, agihan itu bagaimanapun tertakluk kepada bekalan vaksin yang diperoleh negara bagi fasa pertama dan kajian risiko dilaksanakan.

“Kami terima banyak permintaan daripada kumpulan yang mahu dimasukkan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kita akui bekalan vaksin fasa pertama tidak banyak kerana kita hanya ada satu juta dos yang mana 500,000 sudah diperuntukkan kepada barisan hadapan termasuk kakitangan kesihatan dan pasukan keselamatan,” katanya.

Skim perlindungan

Sementara itu, Khairy berkata keputusan memberikan dua dos vaksin Pfizer-BioNTech kekal dan tidak akan menangguhkan pemberian dos kedua buat masa ini memandangkan kerajaan masih belum mengkaji dakwaan mengatakan dos pertama vaksin keluaran itu memiliki keberkesanan sehingga 85%.

“Perkembangan terbaru oleh sebuah negara yang melaksanakan program vaksinasi dengan agak cepat, menyatakan satu dos vaksin Pfizer memiliki keberkesanan sehingga 85% namun kita masih belum lagi membuat kajian mengenai data berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata kerajaan akan mewujudkan skim perlindungan untuk memberi pampasan kepada penerima vaksin Covid-19, jika ada antara mereka mendapat kesan sampingan yang serius.

Katanya, perkara itu diputuskan Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas minggu lalu dan dalam proses diperincikan.

Beliau berkata, skim itu akan memberi pampasan ex-gratia kepada penerima vaksin Covid-19 yang dikenal pasti mengalami kesan sampingan serius.



No comments: