Slogan ‘PAS for all’ ternyata gagal, semuanya hanya janji-janji manis

 


Slogan ‘PAS for all’ ternyata gagal, semuanya hanya janji-janji manis

Pas yang sering mengangkat slogan ‘Pas For All’ ternyata gagal mengotakan kata-kata mereka sendiri secara praktikal apabila Setiausaha Kebangsaan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), S Barathidasan bertindak keluar daripada parti itu.

Timbalan Pengerusi Biro Integrasi Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) Nasional, Arulselvi Nathan berkata, tindakan nekad itu jelas membuktikan bahawa Pas telah gagal mengotakan janji-janji manisnya, terutamanya kepada ahli-ahli DHPP.

“Tindakan berani ini perlu dipuji dan sudah tentu ia bertitik tolak daripada kesedaran serta perhitungan prinsip dan moral perjuangan masyarakat bukan Islam yang akhir-akhir ini sering dilayan sebagai minoriti mengancam dan warganegara kelas kedua dalam masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, ibarat sudah terang lagi bersuluh, Pas dan pemimpin peringkat pusat gagal menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakat bukan Islam khususnya di Kedah.

“Situasi menjadi semakin tegang sejak bermulanya isu kuil Hindu yang diroboh tanpa ada rundingan dengan kerajaan Persekutuan.

“Belum sempat pun bahangnya reda, Menteri Besar Kedah yang juga daripada parti Pas telah bertindak membatalkan cuti peristiwa sempena perayaan Hari Thaipusam baru-baru ini,” kata beliau.

Beliau tidak menolak tindakan DHPP juga menggambarkan Pas gagal memberi dan memastikan keadilan kepada kaum dan agama lain, sebaliknya galak berterusan memainkan sentimen prejudis kaum dan agama sambil membayangkan seolah-olah wujud layanan pengkastaan dalam kedudukan warganegara Malaysia.

“Kepentingan kaum dan agama lain sudah tidak lagi diberi perhatian sebagai agenda parti tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Awan Nasional ingin menzahirkan solidariti mereka atas kekecewaan Barathidasan dan mengalu-alukan sekiranya beliau dan rakan-rakan beliau berhasrat untuk menyertai Amanah.

Menurut Arulselvi, Amanah kekal konsisten dan berani berprinsip dalam menyatakan sokongan serta pembelaan parti berkenaan terhadap hak-hak masyarakat majmuk dan minoriti dalam Malaysia.

“Amanah yang berpegang kepada prinsip ‘Islam Rahmat Untuk Semua’ telah banyak meleraikan permasalahan berkaitan masyarakat bukan Islam, sekalipun mereka terus menjadi sasaran serangan propaganda jahat, fitnah dan adu domba kaum dan agama.

“Ia sama sekali tidak pernah mematahkan semangat semua kepimpinan Amanah yang jelas menjadikan ajaran sebenar Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan dan panduan mengurus keunikan ciptaan Tuhan yang penuh dengan kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu dibangunkan dengan semangat patriotik jujur dan tulus untuk negara, sambil ikhlas memelihara dan melebarkan semangat saling memahami, saling menghormati dan saling mengasihi di antara semua masyarakat berbilang yang menjadi keunikan dan kehebatan negara.

“Bak kata pepatah Inggeris, ‘better late than never’, kami berdoa semoga lebih ramai akan sedar keunikan dan keistimewaan Amanah yang sentiasa komited dan ikhlas meletakkan nilai-nilai murni sejagat menjadi teras sebenar Islam sebagai asas perjuangan membina semula negara,” katanya.

Pada Ahad, Barathidasan meletakkan semua jawatan yang disandang di dalam DHPP dan Pas disebabkan masalah dan isu yang berterusan dalam parti itu sehingga tidak dapat membawa suara rakyat khususnya masyarakat India.

Menurut beliau, antara jawatan dilepaskan ialah urus setia DHPP Pusat, Ketua DHPP Wilayah Persekutuan, Pengarah Pilihan Raya DHPP Pusat, Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Pusat serta Ahli Jawatankuasa BAKIP yang berkuat kuasa pada 31 Disember lalu. 


No comments: