TH dikuasai bukan Islam adalah fitnah! Dedah parlimen



Akhirnya serangan terhadap Pakatan Harapan (PH) ketika menerajui Putrajaya kononnya Tabung Haji (TH) dikuasai bukan Islam terbukti fitnah melalui jawapan kepada pertanyaan lisan Dewan Rakyat semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (AMANAH-Parit Buntar).
“Minta Perdana Menteri menyatakan kedudukan jumlah aset terkini Tabung Haji.
“Adakah benar kerajaan terdahulu telah menjual banyak aset Tabung Haji dan membiarkan Tabung Haji dikuasai oleh orang bukan Islam,” soal Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH.
Sehubungan itu, Dr Zulkifli memberitahu kedudukan terkini aset Lembaga Tabung Haji (TH) pada 30 Jun lalu seperti diumumkan dalam laporan prestasi TH setengah tahun pertama 2020 adalah berjumlah RM78 bilion dengan lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion.
Selaras dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH, jelasnya, aset-aset yang kurang berdaya saing telah dipindahkan kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
“Oleh yang demikian, TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam,” jawab Dr Zulkifli, lapor Malaysia Dateline.
Sebelum ini, Pas dan Umno berulang kali mendakwa TH dan Syarikat Tujuan Khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan di bawah kerajaan PH telah dikuasai orang bukan Islam.
Antaranya pada 29 Mac tahun lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang.
Petikan reaksinya turut dimuatkan di Facebook beliau dengan tajuk “Sangat Tidak Wajar Urusan Tabung Haji Diserahkan Kepada Bukan Islam.”
“Kita belum mendapat maklumat terperinci kerana menteri (Dr Mujahid ketika itu) tidak jawab soalan. Siapa CEO semua, ahli-ahli, tidak diberitahu.
“Jadi, susah kita nak buat kenyataan,” katanya ketika menjawab soalan pemberita.
Walau bagaimanapun, Abdul Hadi tetap menegaskan TH tidak wajar diserahkan kepada bukan Islam selepas diasak oleh soalan daripada pemberita ketika itu.
“Tidak wajar. Itu tabungan orang Islam, beri pada orang Islam. Haji ini ibadat,” tegas Abdul Hadi lagi.


No comments: