Hentikan gangguan terhadap Parlimen Digital
Akmal Nasir
KENYATAAN: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memandang serius terhadap laporan media bahawa terdapat beberapa wakil Parlimen Digital telah dihubungi oleh polis susulan perbahasan secara atas talian yang berlangsung hari ini.
Tindakan intimidasi terhadap anak-anak muda ini telah mengundang persoalan terhadap amalan kebebasan berpolitik khususnya dalam kalangan anak muda.
Sebaliknya, kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya mengiktiraf kesungguhan 222 orang anak muda yang berani bersuara dan mempelajari kemampuan mereka mengadakan sidang ‘Parlimen’ di alam maya dalam keadaan perbahasan Parlimen Malaysia masih tidak berlaku untuk tahun 2020.
Kerajaan seharusnya menghargai usaha beberapa kumpulan organisasi belia untuk menganjurkan sidang Parlimen Digital yang menghimpunkan belia dan anak muda daripada pelbagai latar belakang dari seluruh negara bagi membincangkan polisi berkaitan ekonomi dan pendidikan.
Inisiatif ini seterusnya mampu mendekatkan golongan anak muda terhadap urusan pentadbiran dan polisi negara dan mencerminkan kemampunan belia Malaysia yang akan menjadi pelapis kepimpinan negara di masa akan datang.
Oleh itu, saya mendesak agar pihak kerajaan menghentikan intimidasi terhadap mereka dan memberi jaminan untuk mereka dapat berbahas esok tanpa tekanan daripada pihak berkuasa.
Pada masa yang sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu memberikan sokongan terhadap kumpulan anak muda ini untuk terus bersuara mengetengahkan isu-isu seperti ekonomi anak muda, peluang pekerjaan dan sebagainya, di samping memastikan perbahasan Parlimen Digital diperhalusi dan hujahan mereka diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.