MUHYIDDIN DITOLAK OLEH UMNO, BERSATU MESTI SEDIA DITINGGAL NANAR SENDIRIAN



Nampaknya kecenderungan pemimpin tertentu dalam UMNO dan Pas mahu menamakan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang, tidak mendapat sambutan yang diharap-harapkan.
Ahli MT UMNO merangkap Setiausaha Agung BN, Annuar Musa dan dua pemimpin utama Pas, Hadi Awang serta Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini telah menyatakan sokongan agar Muhyiddin terus dikekalkan lagi selepas PRU15 akan datang nanti.
Annuar memberitahu, secara prinsipnya Muafakat Nasional yang dianggotai UMNO dan Pas telah bersetuju dengan perkara tersebut, manakala Tuan Ibrahim mengatakan, sokongan kepada Muhyiddin kerana kepimpinannya diterima rakyat.
Hadi yang turut menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional menghadapi PRU15, bagaimanapun tidak memberi sebarang alasan mengapa Muhyiddin wajar dikekalkan lagi.
Beberapa pemimpin UMNO jelas menolak cadangan tersebut dan mereka sebaliknya lebih mahukan pemimpin UMNO sendiri menjadi Perdana Menteri selepas ini, bukan mengekalkan lagi Muhyiddin di jawatan tersebut.
Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin berkata, UMNO tidak harus terburu-buru menamakan calon Perdana Menteri kerana parti itu mempunyai ramai pemimpin berpotensi yang layak diketengahkan.
“Kerana itu, dalam PRU akan datang, UMNO mesti menawarkan calon Perdana Menterinya sendiri jika ia memenangi kerusi terbanyak.
“Malah jika UMNO tidak memenangi jumlah kerusi terbanyak pun, ia mesti bersedia dengan calonnya jika calon tersebut boleh menggembleng sokongan untuk membentuk kerajaan,” tegas Khaled lagi.
Menurut beliau, walaupun ketika ini ada cadangan menamakan Muhyiddin agar dikekalkan lagi sebagai Perdana Menteri, UMNO tidak harus terburu-buru menghadkan pendiriannya.
Ahli MT UMNO, Dr. Puad Zarkashi pula menyifatkan tindakan mahu mengekalkan lagi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri merupakan amalan “politik pajak gadai”.
“Cukuplah UMNO dijadikan pajak gadai oleh mereka yang melompat masuk PPBM kerana mengejar jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan peruntukan pembangunan.
“Sebab itu amat pelik apabila TG Hadi Awang dan TS Anuar Musa mencadangkan supaya TS Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU ke 15.
“Kemenangan besar di PRK Chini adalah “signal” dari rakyat, orang Melayu dan ahli UMNO-PAS yang mahu UMNO dan MN kembali memimpin walaupun lawannya hanya calon Bebas.
“Keahlian parti UMNO dan PAS hampir 5 juta orang manakala keahlian parti Bersatu tak sampai 100,000 orang.
“Justeru cadangan TG Haji Hadi Awang dan TS Anuar Musa itu, seolah olah jawatan Perdana Menteri boleh dipajak gadaikan,” tegas Dr. Puad lagi.
Malah beliau juga menempelak mereka yang terus mahu menamakan Muhyiddin itu sebagai pemimpin yang tidak mampu berfikir dengan baik.
“Jika mereka tak mampu berfikir, biar akar umbi yang fikirkan,” tambah beliau.
Mengulas hal yang sama, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Shahrir Samad berkata, banyak perkara perlu difikirkan sebelum mahu memuktamadkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang.
“Apabila sudah dinamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri, apabila diadakan PRU15, tentunya akan banyak kuasa penentu yang dipegang olehnya.
“Adakah Pengerusi BN sendiri mampu menolak keputusan bakal PM itu apabila digunakan kuasa penentu itu dan ianya disokong kuat pula oleh pemimpin parti-parti lain dalam gabungan Perikatan Nasional?” soalnya.
Selain itu, Shahrir juga mempersoalkan kekuatan Muhyiddin dan parti yang dipimpinnya selepas calon Bersatu hilang satu kerusi Parlimen apabila kalah dalam PRK Tanjung Piai sebelum ini.
“Selesakah bakal PM kita tu?
“Kalau BN dan PAS sudah tahu jumlah undi masing-masing dalam PRU14, berapakah undi asas bagi Bersatu di setiap kawasan yang ditandingi,” soal Shahrir seterusnya.
Berdasarkan respon awal yang negatif itu, adalah jelas bahawa impian Muhyiddin untuk berada lebih lama di kerusi Perdana Menteri tidak semudahnya untuk diterima oleh UMNO.
Mereka rata-ratanya hanya mahu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan saja dan selepas PRU15, Perdana Menteri baru daripada UMNO hendaklah dinaikkan pula.
Dalam dapatan lain secara rambang di kalangan pemimpin peringkat pertengahan dan akar umbi UMNO, mereka juga rata-rata mahukan calon daripada UMNO sendiri sebagai Perdana Menteri selepas ini.
Tambahan lagi, dengan beberapa kejayaan BN dalam banyak PRK sebelum ini, bagi mereka, ia adalah hujah paling kukuh bahawa rakyat mahukan UMNO kembali memimpin negara ini.
Dalam hal ini, mahu tidak mahu, Muhyiddin harus sedar realiti buruk bagi masa depan dan kedudukannya yang hanya sementara sekarang ini, walaupun bersama-sama dengan UMNO dan mereka juga diberikan banyak jawatan dalam kerajaan PN yang diterajuinya.
Ibarat habis madu, sepah dibuang, Muhyiddin bukan saja mesti sedia diundur dan tidak diperlukan lagi oleh UMNO, bahkan juga wajib bersedia untuk melihat Bersatu ditinggalkan nanar sendirian apabila tiba detik waktu berbahagi kerusi nanti.

(Shahbudindotcom 05/07/2020)