ADUN NAFI LANGKAH RAWANG, TAPI SEDIA BERUNDUR

Y.B. Tuan Chua Wei Kiat | Dewan Negeri Selangor
Ahli Dewan Undangan Negeri (Rawang) Chua Wei Kiat menafikan ura-ura bahawa PKR akan merancang Langkah Rawang selepas perayaan Aidilfitri untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor.

PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (Rawang) Chua Wei Kiat menafikan ura-ura bahawa PKR akan merancang Langkah Rawang selepas perayaan Aidilfitri untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor.
Ketika dihubungi Sinchew Daily, Wei Kiat berkata, khabar angin mengenai pilihan raya kecil di Rawang adalah disebarkan oleh Perikatan Nasional untuk mengalihkan perhatian daripada isu undi tidak percaya di Parlimen.
Beliau berpendapat Pakatan Harapan (PH) berpeluang besar memperoleh kemenangan di Parlimen manakala Selangor merupakan kerajaan negeri PH yang paling kuat.
“Dengan kestabilan yang ada di Selangor, kami tidak perlu bertindak seperti ini (mengadakan pilihan raya kecil) yang hanya akan memberi peluang kepada musuh politik untuk melakukan serangan,” katanya kepada Sinchew Daily.
Walau bagaimanapun, Wei Kiat berkata, beliau sedia untuk berundur jika ia merupakan keputusan parti.
“Jika Anwar memerlukan kerusi ini untuk menstabilkan parti dan negara, maka saya sedia memberi kerjasama. Masa depan parti adalah lebih penting,”katanya.
Seorang blogger pro-Perikatan Nasional sebelum ini mendakwa PKR berhasrat meletakkan Anwar dalam pilihan raya kecil di Selangor supaya beliau boleh menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai menteri besar.
Blogger itu juga mengimbas kembali bagaimana PKR pernah merancangkan Langkah Kajang untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 


No comments: