PRK DUN Chini: Pas guna alasan Covid-19 biar calon PN menang tanpa bertanding
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menyarankan semua parti politik dan individu yang berminat untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang agar membatalkan hasrat tersebut.
Menurut pensyarah itu, langkah tersebut dapat memberi laluan tanpa bertanding kepada calon yang bakal mewakili Perikatan Nasional (PN) pada 4 Julai depan.
Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat itu berkata, wabak Covid-19 pada masa ini perlu dipertimbangkan walaupun setiap parti dan individu mempunyai hak menyertai mana-mana pilihan raya.
“Tindakan mereka memberi laluan kepada calon yang mewakili gabungan parti yang sedang menerajui kerajaan negeri Pahang dan kerajaan Malaysia, pasti akan dilihat oleh semua pihak sebagai tindakan politik matang dan sihat.
“Parti politik dan individu yang berminat untuk meletakkan calon di PRK tersebut perlu mempertimbangkan.
“Kempen-kempen semasa PRK seperti ceramah dan lawatan rumah ke rumah boleh meningkatkan risiko penyebaran wabak Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Zuhdi berpendapat perbelanjaan bagi proses PRK oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti dan calon individu yang bertanding lebih baik disumbangkan untuk pemulihan ekonomi kesan wabak Covid-19.
“Kekosongan kerusi DUN Chini adalah disebabkan kematian penyandangnya sebelum ini, bukan dikosongkan secara sengaja seperti yang pernah berlaku dalam PRK Port Dickson tahun 2018 yang lalu.
“Sekiranya dikosongkan secara sengaja, mungkin ia boleh dijadikan sebagai alasan untuk meletakkan calon bagi menyaingi calon parti yang mengosongkan kerusi tersebut, sekali gus memberi pengajaran kepada parti yang tidak bertanggungjawab seperti itu,” katanya.
Sehubungan itu, Zuhdi berharap mana-mana parti dan individu yang berhasrat meletakkan calon bertanding pada PRK DUN Chini dapat mempertimbangkan saranannya sebagai menggambarkan solidariti bersama kerajaan dan rakyat yang sedang bergelut menghadapi Covid-19.
PRK DUN Chini menyaksikan seramai 20,990 pemilih terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis bakal membuang undi.
Pada Pilihan Raya Umum 2018, Abu Bakar selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.