PTPTN: 3 dari 4 janji PH telah dilaksana



Kerajaan Pakatan Harapan tidak gagal dalam melaksanakan janji manifestonya berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebaliknya tiga daripada empat janji yang terkandung dalam Buku Harapan telah dilaksanakan, kata Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan.

“(Dalam manifesto PH) ada empat janji. Pertama, pelajar yang cemerlang diberikan pelupusan pinjaman sekiranya mereka datang daripada keluarga B40 dan M40, ini telah dilaksanakan.

"Kedua, sekatan imigresen akan dihapuskan, ini pun sudah dilaksanakan dalam masa sebulan dua ketika kita masuk pejabat.

“Janji ketiga ialah anak muda yang tidak mampu bayar (maka) majikannya (akan) diberi insentif untuk bantu bayar dan ini juga telah dilaksanakan bermula tahun ini. Majikan yang membantu bayar balik pinjaman pekerja mereka akan diberi pelepasan cukai,” katanya dalam program bual bicara ‘Bicara Politikonomi’ yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Rabu malam.

Tambahnya, cuma satu janji yang belum dapat dilaksanakan iaitu penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Wan Saiful berkata janji tersebut sedang diusahakan pihaknya dan perkara tersebut akan mengambil sedikit masa untuk ditunaikan.

Source: Bernama

No comments: