Kerajaan gabungkan 28 agensi kawal sempada kepada satu
Kerajaan Persekutuan bakal mewujudkan sebuah agensi bagi mengawal, memperkukuh serta mempertingkatkan piawaian pengoperasian dan keselamatan di sepanjang sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan berkenaan penubuhan agensi itu telah dipersetujui dan penubuhannya akan dilakukan secepat mungkin.
“Kalau boleh dalam tempoh dua tahun akan datang perkara berkaitan penubuhan agensi sempadan dapat diselesaikan dan penubuhannya dimuktamadkan.
“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan saya akan ‘push’ untuk menyegerakan penubuhannya,” katanya dipetik Bernama.
Muhyiddin berkata, ketika ini pengurusan sempadan negara dikendalikan kira-kira 28 badan, pertubuhan, persatuan dan syarikat yang dilihat menjadi antara faktor kesesakan dan kelewatan dalam pengurusan hal ehwal sempadan negara.
Beliau berkata, cadangan penubuhan badan tunggal itu akan melalui proses kajian dalam tempoh enam hingga 12 bulan oleh perunding yang akan dilantik Mac depan dengan mengambil kira semua keperluan meliputi kewangan, sumber manusia, logistik dan akta berkaitan.
Sementara itu difahamkan, jika ditubuhkan, badan tunggal berkenaan berperanan untuk meningkatkan penyelarasan proses pemeriksaan secara efisien melalui ‘single clearance mechanisme’ dalam mempertingkatkan aspek keselamatan di samping memudah cara perdagangan atau ‘trade facilitation’.