Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, program #MalaysiaKerja yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula suku kedua 2020.
Inisiatif berkenaan, katanya, membabitkan pakej rangsangan RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun dan dijangka mewujudkan sehingga 350,000 pekerjaan.
Di bawah program #MalaysiaKerja, jelas beliau, insentif gaji dan pengambilan pekerja akan dikredikan terus ke dalam akaun KWSP individu.
“Sebarang jumlah lebihan insentif gaji akan dikreditkan ke dalam akaun khas yang diwujudkan oleh KWSP bagi membolehkan pengeluaran secara fleksibel tanpa mengira jumlah pengeluaran apabila diperlukan.
“Mekanisme ini akan membolehkan pencarum menabung untuk persaraan mereka dan pada masa yang sama pendapatan bolehguna itu boleh digunakan oleh mereka untuk menampung keperluan harian,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 anjuran KWSP di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, program #MalaysiaKerja adalah langkah negara menyelesaikan cabaran pekerjaan dalam pasaran.
“Apabila sebahagian besar remaja kita menganggur, kita kehilangan sumbangan mereka yang berpotensi kepada negara, membazirkan pelaburan yang kita buat dalam pendidikan mereka dan boleh membenihkan ketidakpuasan dan ketidakstabilan.
“Masalah Malaysia perlu penyelesaian dengan cara dan pasukan Malaysia. #MalaysiaKerja, atau Malaysia@Work, adalah jawapan Malaysia bagi menyelesaikan cabaran pekerjaan dalam pasaran,” katanya