AMK ketepikan keputusan mesyuarat tak sah Hilman
Keputusan ‘mesyuarat’ Angkatan Muda KEADILAN (AMK) yang dipengerusikan Timbalan Ketuanya, Hilman Idham malam semalam tidak diiktiraf.
Ketua AMK, Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ‘mesyuarat’ semalam dianggap satu perjumpaan dan bukan mesyuarat rasmi kerana ia dijalankan tanpa melalui proses sepatutnya.
“Kalau nak beritahu perkembangan terkini, bagi saya itu hak masing-masing. Cuma mesyuarat Majlis Pimpinan AMK, notisnya kita dah keluarkan akan diadakan pada Ahad, 24 November nanti.
“Jadi mesyuarat itu yang kita susun secara bulanan. Semalam itu mungkin pandangan sesetengah pihak, tapi tidak menggambarkan keputusan daripada AMK,” kata Ahli Parlimen Johor Baharu itu di lobi Parlimen.
Hilman, penyokong tegar Mohammed Azmin Ali selepas ‘perjumpaan’ itu menegaskan bahawa Timbalan Presiden parti itu akan tetap merasmikan kongres sayap pemuda itu.
Sedangkan AMK dalam mesyuarat baru-baru ini memutuskan supaya kongres yang akan dijalankan bulan depan itu dirasmikan bekas Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah.
Keputusan itudibuat sebagai penghargaan untuk Dr Wan Azizah yang memimpin parti itu sejak 1998.
Sementara itu, Akmal mengingatkan penyokong Azmin itu supaya faham bagaimana mesyuarat AMK dijalankan.
Tegasnya, mesyuarat sayap pemuda parti itu tidak boleh dijalankan secara semberono dan notis daripada Setiausaha AMK perlu dikeluarkan dua minggu lebih awal.
“Kemudian kehadiran perlu cukup korum. Isu seolah-olah itu mesyuarat AMK tidak benar. AMK tak boleh ikut sesetengah pihak buat mesyuarat di rumah.
“Kalau nak buat mesyuarat, anda perlu lakukannya di lokasi yang betul terutama di Ibu Pejabat Parti. Itu barulah mesyuarat rasmi,” katanya.
Hilman malam semalam difahamkan menjemput hanya beberapa kerat pemimpin AMK ke ‘mesyuarat’ di Shah Alam.
Turut difahamkan ia dilakukan tanpa persetujuan sah daripada Majlis Pimpinan Pusat AMK (MPPAMK).